Menteri Luar, Mohamad Hasan.
Malaysia berisiko berdepan gelombang kejutan ekonomi sekiranya konflik antara Amerika Syarikat dan Iran memuncak menjadi perang terbuka.
Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata sebarang peperangan di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada negara terlibat, malah boleh mengheret ekonomi global ke dalam ketidaktentuan baharu.
“Perang yang membabitkan Iran dan Amerika Syarikat akan memberi impak sangat besar bukan sahaja kepada rantau itu, malah kepada dunia dan Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta penilaian Wisma Putra mengenai kemungkinan tercetusnya konflik bersenjata serta implikasinya terhadap keselamatan serantau.
Menurut Mohamad, ketegangan meningkat susulan pendirian tegas Washington terhadap program nuklear Tehran dan laporan penambahan aset ketenteraan Amerika di Teluk Parsi, termasuk penempatan semula kapal induk USS Gerald R. Ford dari Mediterranean.
Menurutnya lagi, risiko terbesar adalah kemungkinan penutupan Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi penghantaran minyak dan gas dunia.
“Jika Selat Hormuz ditutup, bekalan tenaga global akan terjejas. Bekalan minyak dan gas akan berkurangan dan harga boleh melonjak dengan mendadak,” katanya.
Beliau mengingatkan, gangguan rantaian bekalan dan lonjakan harga komoditi boleh mengulangi kesan yang pernah dialami dunia susulan perang Rusia-Ukraine sebelum ini, sekali gus memberi tekanan kepada kos sara hidup dan kestabilan ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Bagaimanapun, Mohamad berkata saluran diplomatik masih terbuka.
Rundingan yang dimudah cara Oman menunjukkan perkembangan positif dengan kedua-dua pihak bersetuju meneruskan perbincangan termasuk sesi susulan di Geneva.
“Ini jelas menunjukkan masih ada persefahaman untuk meneruskan rundingan,” ujarnya.
Malaysia, tegas beliau, kekal konsisten dengan pendirian mengutamakan keamanan dan penyelesaian secara diplomatik.
“Sebarang bentuk pencerobohan atau keganasan terhadap kemanusiaan, tanpa mengira siapa yang bertanggungjawab, akan kita kecam,” katanya.
Sebagai negara berkecuali yang mengekalkan hubungan baik dengan negara Asia Barat termasuk Iran dan Amerika Syarikat, Malaysia akan terus menyeru agar ketegangan diredakan demi kestabilan serantau dan global.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib