Ahmad Zahid Hamidi.
MCA tetap akan kekal berada dalam Barisan Nasional (BN) dan merupakan rakan setia gabungan tersebut, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata MCA dan MIC adalah pemangkin kepada kewujudan gabungan itu sejak berpuluh tahun, ia walaupun DAP seringkali menjadikan MCA sebagai sasaran kecaman kerana kritikan yang dilontarkan membabitkan isu polisi kerajaan.
“Tak ada (MCA akan keluar BN), (jika berlaku) saya akan diberitahu sendiri oleh Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong).
“Mungkin ada gerakan (pihak tertentu) yang dilakukan, saya pun ada dikhabarkan begitu, tetapi keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mereka tidak begitu, Insya-Allah mereka tetap bersama dengan kita (BN),” katanya.
Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Serentak UMNO Bahagian Port Dickson di Dewan Pusat Latihan FAMA hari ini.
Zahid diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai mesyuarat perwakilan bahagian MCA yang sedang berlangsung dijangka akan menentukan sama ada parti itu akan mengambil keputusan untuk berpisah dengan UMNO pada perhimpunan agung tahunan parti yang dijangka pada Oktober tahun ini.
Isu itu dikatakan timbul berikutan meningkatnya rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin akar umbi parti terbabit yang mendakwa parti itu dipinggirkan UMNO.
Zahid berkata, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, MCA mengalami permasalahan kerana mereka tidak dapat mengekalkan kerusi yang sedia ada.
Katanya, UMNO perlu menjaga rakan dalam parti komponen itu dengan baik dan membantu jika mereka menghadapi masalah.
“UMNO mesti menjaga rakan-rakan kita jika mereka ada masalah. Ini adalah semangat BN yang harus kita perkukuhkan dan saya yakin rakan kita akan terus bersama dengan gagasan BN ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, BN akan tetap menggunakan lambang dacing sebagai lambang dalam parti gabungan itu pada PRU-16.
“Saya sebutkan dalam PRU-16, kita akan tetap menggunakan lambang dacing dan parti komponen BN akan terus diberikan tempat untuk bertanding walaupun pilihan raya itu masih lama lagi, tetapi itulah ketetapan yang kita buat,” katanya lagi.
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar