Kes mahkamah.
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan meminda atau menggubal undang-undang baharu yang lebih tegas bagi menangani isu melibatkan kaum, agama dan institusi raja (3R), susulan peningkatan kes yang dilihat mencabar keharmonian negara.
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung pagi tadi selepas kerajaan mendapati masih ada pihak yang tidak mengendahkan peruntukan undang-undang sedia ada, terutama dalam kandungan yang disebarkan melalui media dan media sosial.
Menurut beliau, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kes berkaitan 3R, selain menilai sama ada terdapat kelompangan dalam undang-undang yang menyebabkan tindakan penguatkuasaan sukar dilaksanakan secara berkesan.
“Jemaah Menteri memutuskan tindakan yang tegas perlu diambil sekarang oleh pihak berwajib termasuk Peguam Negara terhadap kes yang melibatkan isu 3R,” katanya semasa sidang media hari ini.
Fahmi menjelaskan kerajaan juga akan meneliti kemungkinan terdapat kelemahan dalam peruntukan undang-undang sedia ada yang membolehkan sesetengah pihak tidak memandang serius tindakan awal penguatkuasaan seperti penahanan atau siasatan.
“Sekiranya terdapat kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang menyebabkan tindakan penguatkuasaan tidak memberi kesan yang sewajarnya, maka perkara itu wajar dikaji semula,” katanya.
Beliau menambah kajian tersebut boleh membawa kepada pindaan undang-undang sedia ada atau penggubalan rang undang-undang baharu bagi memastikan isu sensitif berkaitan 3R dapat ditangani secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Isu 3R merujuk kepada perkara berkaitan kaum, agama dan institusi diraja yang dianggap sensitif dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Beberapa tahun kebelakangan ini, perbahasan berkaitan isu tersebut semakin kerap muncul di platform media sosial, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai potensi ketegangan antara masyarakat.
Kerajaan sebelum ini menegaskan kebebasan bersuara tetap dilindungi, namun ia perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menyentuh perkara sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Kajian terhadap undang-undang berkaitan 3R dijangka menjadi antara langkah bagi memastikan kestabilan sosial dan perpaduan terus terpelihara.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar