Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Keputusan kerajaan untuk tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini dilihat sebagai langkah berhemat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam mengurus perbelanjaan negara kerana keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu, termasuk kemungkinan kenaikan harga minyak global.
Wan Azizah menjelaskan Malaysia sebagai negara perdagangan amat terdedah kepada perubahan ekonomi antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi domestik.
“Kita adalah negara perdagangan, jadi kita perlu berhati-hati supaya keadaan ini tidak memudaratkan ekonomi kita,” katanya ketika diminta mengulas keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini.
Wan Azizah terdahulu merasmikan Program Harapan Ramadan 2026 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama CIMB Islamic Bank.
Menurut beliau, pembangunan negara tidak boleh bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara sektor korporat, institusi masyarakat dan organisasi dakwah.
“Program seperti Harapan Ramadan ini menekankan pembinaan kesejahteraan nilai rohani dan sosial dalam kalangan masyarakat di samping memastikan kebajikan komuniti setempat sentiasa terpelihara,” katanya.
Melalui kerjasama itu, CIMB Islamic Bank bersama Yadim memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membantu kira-kira 6,000 penerima di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini.
Bantuan tersebut disalurkan menerusi pengagihan 6,000 Bakul Harapan Ramadan kepada golongan memerlukan.
Wan Azizah berkata usaha kebajikan seperti itu amat penting memandangkan lebih tiga juta isi rumah di negara ini masih berada dalam kategori B40 dan memerlukan sokongan berterusan.
Program Harapan Ramadan 2026 turut menyaksikan penyerahan Bakul Harapan Ramadan kepada 100 penerima terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim di sekitar Bandar Tun Razak.
Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan tunai berjumlah RM2,000 daripada Yadim kepada penerima yang layak sebagai bantuan tambahan menjelang Aidilfitri.
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
IPTA terima kemasukan pelajar berdasarkan merit, tiada pintu belakang: Adam Adli
Parlimen bebas bahas, undi calon pendakwa raya: Azalina
Kuota 200 liter RON95 cukup untuk hampir semua pengguna: Amir Hamzah
Ahli NGO didakwa cuci wang hampir RM18 juta, beli banglo dan kenderaan mewah
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar