Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Umat Islam di Malaysia dinasihatkan menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah sekiranya keadaan keselamatan di Asia Barat tidak menentu, susulan ketegangan konflik yang semakin memuncak di rantau berkenaan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata penangguhan perjalanan adalah selari dengan prinsip syariah yang menitikberatkan perlindungan nyawa manusia, atau konsep ‘hifz al-nafs’, sekiranya terdapat risiko keselamatan kepada jemaah.
Menurut beliau, keputusan berkaitan perjalanan ibadah ke Tanah Suci perlu mengambil kira keadaan semasa serta pandangan pihak berkuasa yang memantau keselamatan antarabangsa.
“Sekiranya pihak berkuasa memutuskan perjalanan ke Tanah Suci masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal, maka umat Islam boleh meneruskan ibadah umrah atau haji seperti biasa,” katanya dalam penjelasan yang dimuat naik di laman rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Beliau bagaimanapun menegaskan jika keadaan keselamatan didapati tidak terjamin, langkah menangguhkan perjalanan adalah wajar demi mengelakkan sebarang risiko terhadap nyawa jemaah.
“Sebaliknya, sekiranya keadaan keselamatan tidak terjamin, penangguhan perjalanan itu selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa,” katanya.
Ahmad Fauwaz turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa merujuk maklumat rasmi daripada pihak berautoriti, khususnya Kementerian Luar yang bertanggungjawab memantau situasi keselamatan di luar negara dan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, dalam keadaan semasa, syarat ‘istita’ah’ atau kemampuan menunaikan ibadah haji dan umrah perlu dinilai semula kerana ia bukan sekadar melibatkan kemampuan kewangan dan kesihatan, tetapi juga jaminan keselamatan perjalanan.
“Jika perjalanan tidak lagi selamat atau terdapat ancaman yang boleh memudaratkan nyawa, maka syarat kemampuan untuk menunaikan ibadah itu dianggap tidak sempurna,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Luar Mohamad Hasan turut menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah berikutan perkembangan konflik di Asia Barat yang boleh berubah pada bila-bila masa.
Ketegangan di rantau itu memuncak selepas konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan keselamatan di beberapa negara berdekatan.
Sejak beberapa hari lalu, kerajaan Malaysia juga telah memulakan proses pemindahan rakyat Malaysia dari beberapa negara Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan konflik tersebut.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib