Hanya 10 kategori pengguna boleh membeli petrol dan diesel melebihi 20 liter.
Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 bilion setiap bulan bagi memastikan harga petrol RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter, walaupun harga minyak mentah dunia meningkat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi inisiatif Budi MADANI RON95 bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos bahan api global.
Menurutnya, jumlah subsidi keseluruhan yang ditanggung kerajaan dianggarkan mencecah RM24 bilion setahun bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.
“Kerajaan terpaksa menanggung sekitar RM2 bilion setiap bulan untuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter supaya rakyat tidak terkesan dengan lonjakan harga minyak dunia,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu.
Anwar turut menjelaskan kerajaan masih mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter walaupun kos sebenar mencecah sekitar RM4.30 seliter.
Beliau berkata perbelanjaan subsidi diesel di kedua-dua negeri itu meningkat dengan ketara tahun ini berikutan keadaan pasaran global yang tidak menentu.
“Tahun lalu subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sekitar RM2 bilion, tetapi tahun ini, jika harga kekal seperti sekarang, kerajaan dijangka menanggung sehingga RM4.6 bilion setahun,” katanya.
Menurut beliau, keputusan mengekalkan subsidi itu juga mengambil kira permintaan kerajaan negeri supaya rakyat di Sabah dan Sarawak tidak dibebani dengan kos pengangkutan yang lebih tinggi.
Anwar berkata lonjakan harga minyak dunia ketika ini berpunca daripada ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan global.
“Ketegangan itu menyebabkan laluan perdagangan penting seperti Selat Hormuz terjejas, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan dan insurans,” katanya.
Walaupun berdepan tekanan ekonomi global, beliau berkata Malaysia masih kekal stabil dan aman, malah pandangan negara ini turut dirujuk oleh beberapa pemimpin dunia dalam usaha mencari penyelesaian konflik antarabangsa.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan rakyat supaya menjadi pengguna yang bijak dan berbelanja secara berhemah, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan iklan sehingga berbelanja di luar kemampuan. Kita perlu amalkan kesederhanaan dan sentiasa mengingati golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.
Global Sumud Flotilla: Nasib 10 aktivis Malaysia masih belum diketahui
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Kerajaan usaha bebaskan aktivis GSF, PMX rayu keluarga terus kuat
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan