Kerajaan teliti semula skim diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak

March 17, 2026 · Isu semasa

Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memperkukuh usaha membanteras kegiatan penyeludupan diesel yang semakin membimbangkan di Sabah dan Sarawak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas jawatankuasa penguatkuasaan memberikan maklum balas berhubung situasi penyeludupan bahan api di kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau menjelaskan kerajaan sedang meneliti sama ada mekanisme SKDS yang digunakan ketika ini masih sesuai diteruskan atau perlu digantikan dengan pendekatan baharu yang lebih berkesan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri menerima maklum balas mengenai usaha jawatankuasa penguatkuasaan menangani penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.

“Antara yang diberi penegasan ialah keperluan meneliti mekanisme SKDS dengan lebih rapi, sama ada diteruskan seperti sekarang atau digantikan dengan mekanisme yang berbeza,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini.

Menurut Fahmi, kerajaan juga akan memperkemas penyelarasan antara agensi penguatkuasaan bagi memastikan operasi membanteras penyeludupan diesel dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Di bawah penyelarasan baharu itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menumpukan penguatkuasaan di kawasan darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan bertanggungjawab di kawasan perairan serta sungai.

“Di bahagian darat, penguatkuasaan akan diuruskan oleh KPDN, manakala kawasan perairan dan sungai akan dikendalikan oleh Maritim Malaysia. Kawasan sempadan pula akan dipantau oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan,” katanya.

Penyeludupan diesel menjadi isu berlarutan khususnya di Sabah dan Sarawak kerana kedudukan geografi kedua-dua negeri yang mempunyai sempadan laut luas serta berdekatan dengan beberapa negara jiran.

Perbezaan harga bahan api antara Malaysia dan negara berhampiran turut menjadi faktor yang mendorong kegiatan penyeludupan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta semua menteri supaya lebih proaktif mengadakan sesi libat urus dengan sektor industri susulan konflik yang berlaku di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi.

Beliau berkata langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sektor sebelum menentukan bentuk bantuan atau inisiatif yang diperlukan.

“Perdana Menteri mahu setiap kementerian berbincang dengan sektor berkaitan, seperti yang dilakukan oleh Menteri Pengangkutan dengan industri penerbangan.

“Semua dapatan akan dikumpulkan sebelum kerajaan menentukan hala tuju serta bantuan yang mungkin diperlukan,” katanya.

Berita berkaitan
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
7 jam lalu· Isu semasa
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
8 jam lalu· Isu semasa
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
November 23, 2026· Isu semasa
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
November 23, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
7 jam lalu · Isu semasa
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
8 jam lalu · Isu semasa
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
8 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
16 jam lalu · Isu semasa
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
16 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
7 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok