Malaysia Airports (MAHB) mencatatkan 8.9 juta pergerakan penumpang pada Februari 2026.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan 8.9 juta pergerakan penumpang pada Februari 2026, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 18.3 juta penumpang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MAHB memaklumkan angka tersebut menunjukkan peningkatan 5.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, mencerminkan pemulihan berterusan sektor penerbangan negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarah Urusannya, Mohd Izani Ghani berkata prestasi awal tahun ini memperlihatkan momentum positif dalam industri penerbangan, disokong oleh permintaan perjalanan yang kekal kukuh.
“Bagi dua bulan pertama 2026, trafik penumpang menunjukkan permulaan yang stabil di seluruh rangkaian lapangan terbang, selari dengan peningkatan kesalinghubungan serantau,” katanya.
Beliau menambah, walaupun jumlah penumpang meningkat, tahap perkhidmatan di lapangan terbang kekal konsisten dan terkawal.
Prestasi itu turut diperkukuh dengan pengiktirafan antarabangsa apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sekali lagi dinobatkan sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Asia Pasifik bagi kategori dua hingga lima juta penumpang di bawah Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2025 oleh Airports Council International (ACI).
Ia merupakan kemenangan kelima berturut-turut bagi lapangan terbang tersebut.
Menurut MAHB, pertumbuhan trafik penumpang pada Februari turut didorong oleh penambahan laluan baharu dan peningkatan kekerapan penerbangan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Beberapa syarikat penerbangan memperkenalkan perkhidmatan baharu termasuk penerbangan sewa khas dari Hong Kong dan Hefei ke Kuala Lumpur.
Selain itu, laluan baharu seperti Kota Kinabalu–Singapura, Pulau Pinang–Guangzhou serta Kuala Lumpur–Hangzhou turut menyumbang kepada peningkatan trafik, di samping penambahan penerbangan ke destinasi domestik popular seperti Kuching, Johor Bahru, Tawau dan Sibu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal sebagai penyumbang utama dengan mengendalikan 5.5 juta penumpang sepanjang Februari, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mencatatkan 760,620 penumpang, meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya.
Dalam pada itu, MAHB memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan global, termasuk ketidaktentuan geopolitik, bagi memastikan operasi lapangan terbang kekal selamat, cekap dan berdaya tahan.
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX
Global Sumud Flotilla: Nasib 10 aktivis Malaysia masih belum diketahui
Anwar rayu sokongan rakyat hadapi tekanan ekonomi
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan