Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menolak gesaan Trump sebelum ini.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menyatakan negaranya “tidak semestinya perlu berada di sisi NATO”, susulan kekecewaan terhadap sekutu Eropah yang didakwa tidak menyokong Washington dalam konflik semasa dengan Iran.
Ketika berucap di sebuah forum pelaburan di Miami pada Jumaat, Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah yang enggan memberikan bantuan material ketika perang dengan Iran memasuki minggu keempat.
Konflik tersebut bermula selepas AS melancarkan serangan terhadap Iran bulan lalu tanpa rundingan bersama sekutu, tindakan yang ditentang oleh beberapa pemimpin Eropah.
“Kami sentiasa ada untuk mereka, tetapi berdasarkan tindakan mereka sekarang, mungkin kami tidak perlu lagi, bukan?” kata Trump dipetik laporan agensi.
“Kenapa kita perlu bersama mereka jika mereka tidak bersama kita? Mereka tidak berada di sisi kita,” ujarnya lagi.
Kenyataan itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai komitmen AS terhadap prinsip pertahanan bersama NATO, khususnya Artikel 5 yang menyatakan serangan terhadap satu negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua.
Hubungan Trump dengan NATO sememangnya sering berubah-ubah sejak beliau mula memegang jawatan.
Semasa kempen pilihan raya 2024, beliau pernah menggesa Rusia supaya menyerang negara anggota NATO yang gagal memenuhi komitmen perbelanjaan pertahanan mereka, kenyataan yang mengundang kecaman meluas.
Walaupun hubungan Trump dengan beberapa pemimpin Eropah dilihat bertambah baik sepanjang 2025, ketegangan kembali memuncak tahun ini.
Hubungan antara Washington dan Brussels merosot selepas Trump meningkatkan ancaman untuk menyerang Greenland, wilayah milik Denmark.
NATO, yang ditubuhkan pada 1949 selepas Perang Dunia Kedua, berfungsi sebagai pakatan pertahanan utama antara Amerika Utara dan Eropah.
Namun, pendirian terbaru Trump menimbulkan kebimbangan tentang masa depan kesatuan itu, terutama dalam situasi geopolitik yang semakin tidak menentu.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib