Kes mahkamah.
Seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana menyebabkan kematian bekas teman wanitanya, kini berdepan hukuman lebih berat selepas Mahkamah Rayuan mensabitkannya atas kesalahan membunuh.
Mahkamah memerintahkan Ahmad Faisal Omar, 26, menjalani hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan, berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 24 Mei 2018.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan sabitan terdahulu di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Dalam penghakiman sebulat suara, hakim Azmi Ariffin menegaskan bukti menunjukkan wujud niat membunuh berdasarkan tindakan tertuduh.
“Tertuduh sendiri mengaku mencekik mangsa dan punca kematian turut disahkan oleh ahli patologi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tiada bukti kukuh mengenai dakwaan provokasi serius seperti yang dibangkitkan pihak pembelaan.
“Perbuatan mencekik itu mencukupi untuk menyebabkan kematian dan jelas memenuhi elemen di bawah Seksyen 300(c),” katanya lagi.
Kes ini berpunca daripada hubungan antara Ahmad Faisal dan mangsa, Nuralya Damia Mohd Hairi, 19, yang pernah menjalin hubungan ketika belajar di kolej vokasional.
Namun, hubungan mereka berakhir pada Februari 2018 selepas tertuduh enggan meneruskannya.
Pada malam kejadian di Taman PD Permata, Lukut, Port Dickson, kedua-duanya bertemu untuk berbincang mengenai hubungan mereka.
Pertemuan itu bagaimanapun bertukar menjadi pertengkaran dalam kereta sebelum tertuduh bertindak mencekik mangsa.
Menurut fakta kes, selepas mendapati mangsa lemah, tertuduh menolak mangsa keluar dari kenderaan sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban pada Jun 2023 mensabitkan Ahmad Faisal atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun.
Keputusan itu mendorong pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
Dalam pembelaannya, Ahmad Faisal mendakwa pertemuan tersebut hanya bertujuan menyelesaikan masalah hubungan dan menafikan mempunyai niat untuk membunuh.
Namun, Mahkamah Rayuan berpendapat pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Ahmad Faisal masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
MCMC uji internet di 16 stesen ECRL, liputan terowong turut dipantau
Anwar: Kestabilan politik yakinkan Google labur RM61 bilion
Daiso labur RM1.2 bilion, bina hab pengedaran terbesar dunia di Malaysia: PMX
Kenderaan rosak akibat RON95, Petron dan Caltex tawar pampasan: Armizan
NUJ mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum