Kes mahkamah.
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan pembayaran 40 peratus hasil kepada Sabah sementara menunggu keputusan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Zaini Mazlan memutuskan kerajaan berdepan risiko besar sekiranya penangguhan tidak diberikan, khususnya untuk mematuhi tempoh masa ketat yang ditetapkan sebelum ini.
Menurut Zaini, kerajaan memerlukan masa untuk menjalankan semakan menyeluruh melibatkan data kewangan selama 47 tahun, dari 1974 hingga 2021.
“Jelas bahawa pemohon berada dalam kekangan masa. Proses ini melibatkan pengesahan dan penyelarasan dokumen serta rekod sejarah yang sangat besar,” katanya ketika membacakan keputusan.
Beliau menambah, tanpa penangguhan, kerajaan berisiko gagal mematuhi arahan Mahkamah Tinggi, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk mencabar keputusan tersebut di peringkat rayuan.
“Pemohon akan terjejas sekiranya penangguhan ditolak, dan rayuan mungkin menjadi tidak bermakna,” katanya.
Sebelum ini, pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak menyalahi Perlembagaan apabila gagal menunaikan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah selama hampir lima dekad.
Mahkamah mengarahkan semakan bersama dilakukan dalam tempoh 90 hari dan persetujuan dicapai dalam masa 180 hari.
Namun, Mahkamah Rayuan berpandangan arahan tersebut tidak selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan sebarang pertikaian perlu dirujuk kepada penilai bebas.
Zaini turut memberi amaran pelaksanaan segera bayaran itu boleh memberi kesan kewangan besar kepada kerajaan.
“Jumlah bayaran adalah sangat besar dan pelaksanaannya sebelum rayuan diputuskan boleh mewujudkan keadaan ‘fait accompli’, terutama dalam suasana ekonomi global yang mencabar,” katanya.
Kes ini berpunca daripada tuntutan lama Sabah terhadap hak hasil 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi sebahagian daripada perjanjian pembentukan Malaysia.
Walaupun kerajaan tidak mempertikaikan hak tersebut, rayuan difailkan berhubung dapatan mahkamah berlaku penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran tanggungjawab perlembagaan.
Keputusan Mahkamah Rayuan ini memberi ruang kepada Putrajaya untuk meneruskan cabaran undang-undang tanpa tekanan pelaksanaan segera, sementara isu sensitif melibatkan hak kewangan Sabah terus menjadi perhatian.
Pelaburan palsu punca kerugian tertinggi penipuan dalam talian
Pengesahan umur bertujuan lindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian: Fahmi
Pelajar IPTS warga asing ditemui maut di kondo, rakan senegara ditahan
Pemandu mabuk: Kerajaan teliti pampasan khas untuk mangsa kemalangan jalan raya
MyKad baharu libatkan kos RM120 juta setahun
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar