Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh, menyelar kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang melabelnya sebagai “budak catur”, susulan kritikan lantangnya terhadap DAP.
Dalam kenyataan balasnya di Facebook hari ini, Akmal menegaskan beliau bukan sekadar bersuara di pentas ceramah, malah pernah berdepan pemimpin DAP di mahkamah.
“Kalau sampai ke mahkamah pun kita lawan, tapi masih dikatakan budak catur, terpulanglah,” katanya.
Beliau turut menyindir ceramah Sanusi di Melaka yang menurutnya lebih tertumpu kepada serangan peribadi berbanding cadangan pembangunan negeri.
Terdahulu, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS membuat kenyataan itu ketika merasmikan pelancaran jentera pilihan raya PAS Melaka di Bukit Katil.
Dalam ucapannya, beliau mendakwa Akmal hanya lantang bersuara tetapi tidak berpengaruh dalam menentukan hala tuju parti, merujuk kepada keputusan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, yang kekal bekerjasama dengan DAP.
“Akmal bukan kuat, dia hanya suara deras sahaja. Nampak garang tetapi sebenarnya jadi budak catur kepada Zahid Hamidi,” kata Sanusi, sambil turut mengaitkan nama Khairy Jamaluddin dalam ucapannya.
Mengulas lanjut, Akmal mengingatkan Sanusi supaya memberi perhatian kepada isu disiplin wakil rakyat PAS.
Beliau membangkitkan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhamad Jailani Khamis, yang didakwa menghadiri ceramah walaupun sedang bercuti sakit selama tiga bulan.
“Dia MC tiga bulan sebab kaki retak, tapi boleh hadir ceramah. Sidang DUN hanya empat hari dalam empat bulan pun tidak hadir,” katanya, sambil mempersoalkan keutamaan wakil rakyat tersebut terhadap tanggungjawab kepada pengundi.
Pertikaman lidah ini berlaku menjelang pilihan raya negeri yang dijangka sengit, dengan hubungan UMNO dan PAS terus tegang walaupun kedua-duanya pernah berada dalam blok politik yang sama.
Akmal menegaskan, penilaian sebenar akan dibuat oleh rakyat.
“Akhirnya rakyat akan tentukan siapa benar-benar bekerja dan siapa sekadar bermain politik,” katanya.
SPRM ambil keterangan bekas pembantu Rafizi esok
Keputusan kes Syed Saddiq kekal bebas atau dipenjara pada 30 Jun
AMK Selangor lapor polis isu hina institusi diraja di media sosial
Zambry akan rujuk dengan Pengerusi BN berhubung krisis Negeri Sembilan
PN Negeri Sembilan nyata sokongan bersama BN tubuh kerajaan baharu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan