Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia perlu menyusun semula keutamaan ekonomi susulan ketidaktentuan global yang semakin memuncak, khususnya akibat ketegangan geopolitik di beberapa rantau utama dunia.
Perdana Menteri berkata keadaan ekonomi semasa memerlukan kerajaan bertindak lebih responsif dan berpandangan jauh dalam mengurus risiko.
“Perkara paling tidak diingini dalam mana-mana ekonomi ialah ketidaktentuan. Konflik di Asia Barat dan kesannya kepada rantau ini memberi cabaran besar,” katanya semasa berucap di Putrajaya pada Forum Siri 11 Ilmuwan Malaysia MADANI malam tadi.
Beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi dunia berdepan tekanan berterusan termasuk konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan inflasi global.
Negara seperti Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa turut terkesan, sekali gus menuntut pendekatan dasar yang lebih fleksibel.
Menurut Anwar, kerajaan masih mampu mengekalkan harga bahan api domestik seperti RON95 pada tahap rendah berbanding negara lain, namun langkah itu datang dengan kos tinggi.
“Buat masa ini kita masih boleh mengekang kenaikan harga, tetapi persoalannya adakah ia mampan dalam jangka panjang? Subsidi melebihi RM7 bilion perlu ditanggung kerajaan,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran mengenai cabaran bekalan diesel yang lebih kritikal berbanding petrol.
Katanya, walaupun bekalan petrol masih stabil hasil pengeluaran domestik dan pengurusan oleh Petroliam Nasional Berhad, diesel berdepan kekangan bekalan.
“Diesel menjadi isu utama. Kita tidak boleh mengeksport walaupun ada permintaan luar kerana keutamaan adalah keperluan dalam negara,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menekankan kepentingan perancangan jangka panjang bagi menghadapi dunia yang semakin kompleks.
“Kajian masa depan amat penting untuk kita bukan sahaja menangani cabaran semasa, tetapi juga menjangka landskap baharu dunia pascanormal,” katanya.
Beliau juga menggesa negara Islam memperkukuh kerjasama ekonomi dan institusi, termasuk melalui usaha kecil tetapi praktikal antara negara seperti Malaysia, Türkiye, Indonesia dan Pakistan.
“Sejak 1990-an lagi sudah ada desakan untuk memperbaharui sistem kewangan antarabangsa, tetapi ia masih belum direalisasikan. Kita perlukan keberanian dan iltizam kolektif untuk berubah,” katanya.
Lebih 724,000 kandungan judi dalam talian diturunkan MCMC: Teo Nie Ching
MCMC siasat akaun Facebook hina Sultan Selangor
Malaysia tiada komitmen ekstradisi Zakir Naik ke India: Saifuddin
Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengganti belum dibincang: Saifuddin
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum