Jenayah siber.
Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan kekuatan negara dalam sektor digital serta pendirian tegas kerajaan terhadap beberapa isu antarabangsa, khususnya konflik Palestin dan Gaza.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai kekuatan digital dan kapasiti pusat data yang tinggi menjadikan negara ini perhatian pihak tertentu.
Beliau berkata, berdasarkan penilaian terkini, keupayaan digital Malaysia kini mampu menyaingi beberapa negara di Eropah.
“Malaysia sememangnya antara yang dianggap sebagai sasaran.
“Ada dua perkara. Pertama, kerana kekuatan kita dalam bidang digital dan pusat data adalah antara yang terkuat. Berdasarkan angka terkini dua minggu lalu, kekuatan kita mampu menyaingi Eropah.
“Kedua, kerana pendirian tegas kita terhadap beberapa isu yang dianggap kontroversi oleh sesetengah negara, khususnya Eropah dan Amerika, terutama berkaitan Palestin serta Gaza,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta penjelasan sama ada Malaysia dikenal pasti sebagai sasaran berdasarkan maklumat risikan sedia ada serta tahap ancaman keselamatan siber terhadap negara.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak semua maklumat berkaitan ancaman dan risikan keselamatan boleh didedahkan kepada umum.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan turut mengambil perhatian terhadap langkah beberapa negara termasuk Kanada, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) yang menasihatkan rakyat masing-masing supaya menyediakan simpanan bekalan makanan bagi menghadapi kemungkinan krisis.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan mesyuarat bersama semua jabatan berkaitan esok bagi menyelaras tindakan kerajaan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) pula akan mengadakan sesi khas bersama institusi kewangan bagi membincangkan perkembangan dan persediaan menghadapi risiko semasa.
Anwar turut mencadangkan supaya Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengadakan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
Langkah itu penting bagi memastikan wakil rakyat mendapat gambaran lebih jelas mengenai tahap ancaman keselamatan negara serta persediaan kerajaan menghadapi perkembangan geopolitik dan risiko keselamatan yang semakin kompleks.
Lebih 724,000 kandungan judi dalam talian diturunkan MCMC: Teo Nie Ching
MCMC siasat akaun Facebook hina Sultan Selangor
Malaysia tiada komitmen ekstradisi Zakir Naik ke India: Saifuddin
Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengganti belum dibincang: Saifuddin
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum