Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah.
Abu Bakar Hamzah kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Perlis meskipun keahliannya dalam Parti Bersatu digantung selama dua penggal pemilihan parti.
Beliau menegaskan tindakan disiplin parti itu tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri yang diteruskan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.
“Tidak ada kesan keputusan penggantungan parti dengan pentadbiran kerajaan negeri dan sesetengah pihak jangan keliru dalam soal ini.
“Sebagai pemimpin atau ahli Bersatu, soal penggantungan tersebut berkaitan urusan parti. Sebagai Menteri Besar, saya kekal meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Abu Bakar berkata, beliau akur dengan keputusan yang dibuat parti dan akan mengemukakan rayuan mengikut prosedur ditetapkan.
Media sebelum ini melaporkan keahlian beliau digantung selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim mengesahkan tindakan itu dan memaklumkan surat penggantungan sudah dikeluarkan pada minggu lalu.
Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan.
Susulan keputusan berkenaan, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti serta dilarang mengeluarkan kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, beliau masih mempunyai ruang untuk mempertahankan diri melalui rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan berkata, pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa dan beliau belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak berhubung perkembangan itu.
Menurutnya, kedudukan politik Abu Bakar turut bergantung pada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di negeri berkenaan.
“Apa pun, masih ada tempoh dua minggu untuk Abu Bakar merayu keputusan penggantungan parti itu. Mungkin ada keputusan yang akan dibuat selepas itu,” katanya.
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
PRN Melaka: PAS sedia guna lambang bulan selepas PN dibatalkan RoS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum