Jabatan Peguam Negara (AGC).
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta bukti lain sebelum menentukan tindakan lanjut berhubung insiden membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan kertas siasatan berhubung kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu sudah diterima AGC hari ini.
Menurutnya, semua bahan bukti yang dikumpulkan sepanjang siasatan akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
“AGC akan meneliti setiap aspek siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil berhubung kes ini,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail memaklumkan kertas siasatan berkenaan dikemukakan kepada AGC untuk penelitian, nasihat dan arahan lanjut selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Setakat ini, seramai 25 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kejadian yang berlaku pada 28 September lalu.
Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Kes itu mendapat perhatian selepas video tular memaparkan Mohd Shuhaily memarahi dua individu di KLIA Terminal 1.
Insiden berkenaan kemudiannya mencetuskan siasatan polis bagi menentukan apa yang berlaku berdasarkan keterangan pihak terbabit dan bukti yang diperoleh.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya susulan kejadian itu.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum