Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman Badan Peguam Malaysia dalam kes Yayasan Akal Budi.
Keputusan itu membolehkan Zahid dan Peguam Negara meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pendakwaan menghentikan 47 pertuduhan jenayah terhadap Zahid pada 2023.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Hashim Hamzah memutuskan kes itu membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penentuan muktamad mahkamah tertinggi.
“Kami berpandangan kes ini membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam yang memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad mahkamah ini,” katanya.
Menurut beliau, pemohon sudah memenuhi ambang yang ditetapkan bagi mendapatkan kebenaran merayu di bawah Seksyen 96A dan 96B Akta Mahkamah Kehakiman.
Panel itu turut mengingatkan ambang bagi mendapatkan kebenaran rayuan perlu diterapkan secara berdisiplin, berhati-hati dan dengan batasan, terutama apabila ia membabitkan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan rayuan Badan Peguam Malaysia untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara menghentikan prosiding kes Yayasan Akal Budi membabitkan Zahid.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akal Budi selepas pihak pendakwaan memaklumkan keputusan untuk menghentikan prosiding.
Kes itu membabitkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akal Budi.
Badan Peguam Malaysia kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara berhubung penghentian prosiding tersebut.
Dengan keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan, persoalan mengenai bidang kuasa dan kuasa Peguam Negara dalam membuat keputusan pendakwaan itu kini akan diputuskan di peringkat mahkamah tertinggi negara.
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum