Akaun media sosial kini wajib sahkan umur pengguna

June 1, 2026 · Isu semasa

Malaysia mula menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial hari ini dalam usaha memperketat perlindungan terhadap pengguna bawah umur, khususnya kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada ancaman siber dan kandungan berbahaya.

Langkah itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Melalui peraturan baharu itu, individu bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial, manakala pengguna yang ingin mendaftar perlu mengemukakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID bagi tujuan pengesahan umur.

Keperluan sama turut dikenakan kepada pemilik akaun sedia ada yang perlu mengesahkan identiti masing-masing bagi memastikan mereka layak terus menggunakan platform media sosial mengikut syarat ditetapkan.

MCMC sebelum ini menjelaskan penguatkuasaan kedua-dua kod tersebut bertujuan memperkukuh ekosistem keselamatan digital negara serta memastikan penyedia platform lebih bertanggungjawab dalam menangani kandungan berbahaya.

“Penyedia platform digital perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman eksploitasi siber, kandungan lucah, penipuan dan pemangsa dalam talian,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Di bawah CPC, penyedia platform diwajibkan melaksanakan pendekatan “safety by design” termasuk mengehadkan ciri atau fungsi yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko gangguan seksual, eksploitasi dan aktiviti grooming.

Sementara itu, RMC pula mewajibkan syarikat media sosial menjalankan penilaian risiko lebih menyeluruh, memperketat tadbir urus kandungan serta memperkenalkan pelabelan terhadap kandungan yang dimanipulasi bagi mengekang penyebaran berita palsu dan penipuan dalam talian.

Kegagalan mematuhi keperluan di bawah RMC boleh menyebabkan penyedia platform dikenakan tindakan termasuk penalti kewangan sehingga RM10 juta.

Dalam usaha membanteras penipuan digital, kerajaan turut menetapkan iklan berbayar hanya boleh dimuat naik oleh pengguna atau pengiklan yang identitinya telah disahkan menggunakan dokumen rasmi kerajaan.

MCMC turut mengarahkan platform media sosial menyesuaikan sistem algoritma dan cadangan kandungan bagi mengurangkan pendedahan pengguna kepada bahan berisiko seperti penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah dan penipuan kewangan.

Malaysia menjadi antara negara terbaharu memperkenalkan sekatan umur media sosial selepas Australia dan Indonesia melaksanakan pendekatan serupa bagi melindungi golongan muda daripada kesan negatif penggunaan internet tanpa kawalan.

Bagaimanapun, pendekatan Malaysia dilihat lebih menyeluruh kerana menggunakan sistem identiti nasional seperti MyKad dan MyDigital ID bagi memastikan proses pengesahan lebih sahih serta selamat.

ONSA mula dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Januari lalu sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh keselamatan dalam talian dan memastikan penyedia platform digital bertindak lebih pantas terhadap kandungan memudaratkan di alam maya.

Berita berkaitan
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
4 jam lalu· Isu semasa
Kes scam: Ingat arahan bos, kerani pindah RM452,000
8 jam lalu· Isu semasa
JMF buat penampilan sulung, meriahkan Hari Kebangsaan: Fahmi
August 24, 2026· Isu semasa
Lebih 1,500 warga Papar sertai kempen Internet Selamat
August 22, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Dua pembantu Najib diperintah bayar RM483,000 kepada pendakwah bebas
August 26, 2026 · Isu semasa
RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan
August 26, 2026 · Isu semasa
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
7 jam lalu · Isu semasa
Pendakwah terkenal didakwa seleweng dana NGO RM13 juta
8 jam lalu · Isu semasa
Jerebu makin meluas, 29 kawasan catat IPU tidak sihat
August 25, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok