Dr Muhamad Akmal Saleh.
Pemuda UMNO mencabar sayap pemuda DAP dan PKR supaya tidak memilih sasaran tertentu, sebaliknya memecat semua wakil UMNO yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan jika benar-benar berani.
Ketuanya, Muhamad Akmal Saleh berkata UMNO tidak terikat dengan jawatan dan sanggup kehilangan kedudukan dalam kerajaan demi mempertahankan prinsip parti.
“Kalau berani, pecat semua menteri dan timbalan menteri UMNO. Kami bukan gila kuasa atau jawatan, tetapi kalau mahu berdepan, kita lawan habis-habisan,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-80 UMNO hari ini.
Kenyataan itu muncul susulan gesaan beberapa pemimpin parti komponen kerajaan sebelum ini.
Seorang pemimpin sayap pemuda DAP dilaporkan mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim, supaya menyingkirkan Mohamad Hasan daripada Kabinet.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemimpin PKR di Selangor turut mencadangkan agar wakil UMNO digugurkan daripada barisan Exco negeri.
Mengulas perkara itu, Akmal menegaskan UMNO tidak akan tunduk kepada tekanan politik atau menjadi “pak turut” dalam gabungan kerajaan.
Katanya, tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini membuktikan parti itu tetap berpegang pada prinsip.
“Negeri Sembilan jadi bukti bahawa UMNO bukan parti yang boleh diperkotak-katikkan. Kalau kita berkawan, kita berkawan betul-betul, tetapi bila garis merah dilanggar, kita tidak teragak-agak untuk tarik sokongan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kehilangan jawatan bukan isu utama jika maruah parti terus dipersoalkan.
“Lebih baik hilang jawatan daripada terus dihina atau dikhianati. Prinsip itu lebih penting daripada kedudukan,” katanya.
Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, menggabungkan beberapa parti utama termasuk UMNO, PKR dan DAP bagi memastikan kestabilan politik negara.
Namun, perbezaan pandangan antara parti komponen masih kerap mencetuskan ketegangan dalam gabungan tersebut.
UMNO berpendirian sebarang program hiburan perlu ada batas: Zahid
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan