Akmal lelong motosikal, ikan tilapia bayar saman fitnah

October 21, 2026 · Politik

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, menawarkan motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dilelong bagi mengumpul wang RM300,000 bagi membayar ganti rugi dan kos guaman selepas kalah dalam saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Akmal berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Melaka dan bersedia memikul tanggungjawab menyelesaikan bayaran itu menggunakan aset miliknya sendiri tanpa mengharapkan sumbangan orang ramai.

“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, beliau tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dijual bagi menampung jumlah berkenaan. Bagaimanapun, motosikal dan ikan tilapia ternakannya sudah habis dibayar dan boleh dilepaskan.

“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat.

“Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan,” katanya.

Akmal turut mengajak individu yang berminat supaya mengemukakan tawaran bagi kedua-dua aset berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan, doa dan kata-kata semangat susulan keputusan mahkamah itu.

“Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Akmal membayar ganti rugi RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa berhubung kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.

Hakim Isa Aziz Ibrahim memutuskan kenyataan Akmal dalam video berkenaan membawa maksud memfitnah Teresa dan melampaui batas kritikan terhadap dasar awam.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Akmal daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP itu.

Kes berkenaan berpunca daripada pertikaian mengenai cadangan kerajaan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol.

Pada 10 September 2024, Teresa menyuarakan kebimbangan cadangan itu boleh membebankan perniagaan dan menjadikan Malaysia bahan cemuhan.

Akmal kemudian mengkritik Teresa dengan menggunakan gelaran “nyonya tua” serta mendakwa beliau tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam. Akmal turut menyebut cadangan supaya logo bukan halal disediakan untuk ditampal pada dahi pemimpin DAP itu.

Teresa kemudiannya mengeluarkan surat tuntutan pada 11 September 2024, menuntut ganti rugi RM25 juta, permohonan maaf terbuka serta penarikan balik kenyataan berkenaan.

Akmal sebelum ini menegaskan kes itu akan dihadapinya di mahkamah.

Keputusan terbaharu itu menyaksikan Akmal kini berdepan tanggungjawab membayar keseluruhan RM300,000, sekali gus mendorongnya mengambil langkah menjual aset peribadi bagi menyelesaikan tuntutan berkenaan.

Berita berkaitan
PRN Melaka: PAS nafi akan umum calon sepentas dengan BN
15 jam lalu· Politik
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
15 jam lalu· Politik
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
15 jam lalu· Politik
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
20 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
16 jam lalu · Politik
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
20 jam lalu · Politik
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
October 22, 2026 · Politik
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
October 22, 2026 · Politik
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
October 22, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok