Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memperkukuh tahap keselamatan serta kesiapsiagaan anggotanya susulan insiden tembakan terhadap kenderaan seorang komander kanan agensi itu di Bukit Kayu Hitam awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Ismail Mokhtar berkata, pihaknya sedang meneliti penubuhan pasukan khas sebagai langkah tambahan dalam menghadapi sebarang ancaman, terutama ketika proses pengambilalihan operasi dan aset daripada enam agensi teras termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Kita sedang ke arah itu bagi memperkukuh aspek keselamatan. Dalam tempoh pengambilalihan ini, pasukan penguat kuasa, unit risiko serta kawalan operasi di pintu masuk akan diperkemaskan,” katanya dipetik laporan media.
AKPS yang kini mengendalikan 22 pintu masuk negara sedang melalui fasa penstrukturan semula bagi memperkemas penyelarasan kawalan sempadan.
Kesemua pintu masuk berkenaan telah diklasifikasikan mengikut tahap risiko, termasuk beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai “hotspot” dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan lebih ketat.
Mengulas kejadian di Bukit Kayu Hitam, Ismail menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap keselamatan pegawai penguat kuasa. Bagaimanapun, beliau menegaskan insiden itu tidak akan melemahkan semangat anggota.
“Kita tidak berkompromi terhadap sebarang ancaman kepada anggota. Operasi akan diteruskan seperti biasa dengan langkah keselamatan dipertingkatkan,” katanya.
Menurut beliau, permohonan aset keselamatan termasuk persenjataan tambahan akan dipercepat bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh.
Terdahulu, sebuah Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir dilaporkan ditembak kira-kira jam 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat Subuh dilaporkan terselamat tanpa kecederaan.
Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain, turut turun ke lokasi bagi menilai situasi dan memberi sokongan kepada pegawai terlibat.
Insiden itu kini dalam siasatan pihak berkuasa.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib