Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Amirudin Shari akan bertemu Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Anwar Ibrahim esok bagi membincangkan kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pertemuan itu menjadi langkah awal sebelum sebarang rundingan rasmi antara PH dan BN di Melaka dimulakan.
“Esok saya ada pertemuan dengan Anwar untuk melihat perkara ini. Jika ada keperluan, saya akan laksanakan dalam masa terdekat,” katanya selepas melancarkan Karnival Cinta Masjid di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, hari ini.
Beliau berkata, rundingan berhubung kerjasama itu boleh digerakkan dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang, namun buat masa ini tumpuan masih diberikan kepada sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
“Paling awal ialah selepas sambutan Hari Kebangsaan, jika ada keperluan untuk mengadakan pertemuan atau perbincangan sedemikian,” katanya.
Amirudin turut menegaskan belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai kerjasama PH-BN untuk PRN Melaka.
“Apa yang penting untuk diperhatikan ialah pada peringkat ini, hanya terdapat kenyataan daripada kedua-dua pihak. Tiada apa-apa yang telah diputuskan secara strategik atau secara muktamad,” katanya.
Beliau berkata, pergerakannya berkaitan isu itu adalah berdasarkan arahan Anwar dan sebarang keputusan penting akan dimaklumkan kepada media.
Perkembangan itu susulan kenyataan Anwar sebelum ini mengenai kemungkinan PH dan BN bekerjasama pada PRN Melaka. Jawatankuasa pilihan raya PH yang dipimpin Amirudin bersama Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, dijangka menjadi platform utama untuk membincangkan perkara berkenaan.
Saifuddin sebelum ini turut membuka ruang untuk bertemu Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, bagi membincangkan kerjasama pilihan raya selepas Menteri Besar Melaka itu pulang dari New Zealand.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan gabungan itu masih terbuka kepada rundingan pembahagian kerusi, termasuk pertukaran kerusi, dengan syarat rundingan dilakukan secara jujur dan berlandaskan niat baik.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. Kerjasama politik selepas pilihan raya menyaksikan wakil PH turut menyertai barisan EXCO kerajaan negeri.
Bagaimanapun, hubungan PH dengan kerajaan negeri Melaka berubah pada Julai lalu apabila PH menarik balik sokongan dan keluar daripada kerajaan negeri susulan bantahan terhadap pindaan perlembagaan negeri berkaitan pelantikan ADUN.
PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya akhir Februari 2027, manakala penggal DUN Melaka ketika ini berakhir pada 30 Disember.
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
Lantang isu luar negara, kenapa diam isu Tabung Haji? – Fahmi sindir PAS
FELDA rugi RM2.3 bilion, pelaburan di Indonesia semasa era BN 2016 dipersoal: Radzi Jidin
Sudah lah tak hadir sidang khas Parlimen, Hadi persoal RCI TH dedah sekarang
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri