Naib Ketua AMK, Nabil Halimi.
Pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyindir Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dengan mendakwa wakil rakyat pembangkang itu gagal menampilkan idea bermakna sepanjang memegang peranan sebagai “menteri bayangan” Belia dan Sukan Perikatan Nasional (PN).
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi, tampil mempertahankan pelaksanaan reformasi kerajaan Madani susulan kritikan Fadhli yang mendakwa janji reformasi telah “dikuburkan” selepas pengumuman barisan Kabinet baharu.
Dalam satu kenyataan, Nabil secara sinis mengucapkan “takziah” kepada Fadhli dan berkata Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak mengemukakan sebarang cadangan nasional yang konstruktif berkaitan portfolio belia dan sukan.
Beliau turut menyifatkan kabinet bayangan PN sebagai sekadar “bayang-bayang tanpa isi”.
Menurut Nabil, Fadhli sepatutnya mengulas usaha kerajaan Madani memberi ruang kepada anak muda melalui pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari, yang berusia 29 tahun sebagai Menteri Belia dan Sukan, serta Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berusia 34 tahun sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Pelantikan ini membuktikan AMK di bawah kepimpinan Kamil Munim sangat agresif dalam memperkasakan peranan belia dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Kritikan Fadhli sebelum ini timbul selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet, dengan mendakwa reformasi telah “dikuburkan secara rasmi”.
Mengulas dakwaan itu, Nabil menegaskan kerajaan Madani telah melaksanakan reformasi besar dan berani sepanjang tiga tahun pentadbiran, termasuk penyasaran subsidi, peluasan cukai tanpa melibatkan barangan asas, pelaksanaan gaji minimum, kenaikan gaji penjawat awam serta pengukuhan disiplin fiskal.
Beliau turut menyenaraikan reformasi perundangan dan tadbir urus seperti Akta Tanggungjawab Fiskal, Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan, Rang Undang-Undang Kredit Pengguna dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam.
“Hasilnya, ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, kadar pengangguran terendah dalam sedekad, inflasi terendah dalam 51 bulan dan defisit fiskal menurun kepada 3.8 peratus,” katanya.
Nabil menegaskan reformasi bukan sekadar simbol, sebaliknya iltizam membaiki sistem dan memastikan akauntabiliti kuasa.
Sehubungan itu, beliau mencabar Fadhli mengemukakan idea konkrit bagi mengimbangi portfolio Belia dan Sukan, sambil mengingatkan agar tidak mengambil jawatan tersebut sekiranya PN membentuk kerajaan tanpa hala tuju jelas.
Jangan hanya semasa senang saja nak bersama dengan BN: Zahid
Hisham bersyukur penggantungan ditarik balik, sedia bantu UMNO kembali
Khairy dan Hishammuddin antara yang diterima balik masuk UMNO: Asyraf Wajdi
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan