
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim, menyeru rakyat Malaysia agar menjadi lebih pintar dan cerdas dalam menangani naratif perkauman yang boleh memecahbelahkan perpaduan negara.
Perdana Menteri berkata pemerintahan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum bukanlah satu tugas yang mudah, memandangkan setiap tindakan kerajaan sering dilihat melalui kaca perkauman.
“Dalam negara pelbagai kaum ini, nak kemudi, nak ‘navigate’, ini bukan mudah. Anda cakap sikit lebih bumiputera, kaum Cina nanti kata apa. Anda sebut projek untuk India tambahan, Melayu kata kita dah tinggal,” kata Anwar semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 hari ini.
Anwar menjelaskan bahawa naratif sedemikian boleh dilihat dari peringkat akar umbi sehingga ke Parlime dengan memberi contoh isu peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 untuk negeri Pulau Pinang diserang hanya kerana majoriti penduduknya bukan Melayu, sedangkan negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu juga menerima peruntukan yang besar.
“Padahal, kalau kita lihat, Kelantan, Terengganu, negeri-negeri lain pun dapat peruntukan yang juga besar. Kita beri peruntukan apa yang kita rasa perlu… Kerana tidak ada modal untuk kutuk belanjawan, dia (pembangkang) bangkit.
“Umpamanya LRT Pulau Pinang. Mengapa tambah peruntukan? Mengapa dibesarkan lapangan terbang? Itu dibesarkan lapangan terbang kerana sudah terlalu sesak,” katanya lagi.
Anwar turut menekankan kepentingan pendedahan kepada maklumat yang benar dalam kalangan rakyat kerana demokrasi tidak akan bermakna tanpa usaha untuk memberi penerangan kepada masyarakat.
“Demokrasi itu tidak akan bermakna kalau kita tidak usahakan untuk memberi penderangan. Kerana tarikan kaum lebih kuat dari ‘reason’,” katanya lagi.
Anwar mengingatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada dengan kebangkitan kumpulan ekstremis dan sayap kanan yang sering menyerang golongan minoriti dan pendatang.
“Kita harus ‘on guard’ supaya tidak ada ketelanjuran itu,” pesannya sambil menekankan keperluan untuk bersama-sama memelihara keharmonian dan kestabilan negara.