PAS.
Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turun berhimpun bagi membantah kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara minggu depan.
Himpunan bantahan tersebut akan berlangsung di Masjid Tabung Haji di sini, sejurus selepas selesai solat Jumaat.
Naib Ketuanya, Muhammad Hanif Jamaluddin menggesa orang ramai tampil bagi menyuarakan penolakan mereka dengan menyifatkan kehadiran Trump ke Malaysia wajib dibantah kerana beliau dilihat sebagai penyokong dan dalang utama di sebalik penderitaan rakyat Palestin.
Beliau menegaskan Trump bukan sekadar sekutu rejim Israel, malah secara aktif membekalkan berbilion dolar bantuan senjata yang digunakan untuk membunuh rakyat tidak berdosa di Gaza.
“Bagaimana mungkin tangan yang berlumuran darah disambut dengan senyuman dan karpet merah? Tidak! Kita mesti menolak kehadiran Trump!” tegasnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut membangkitkan tindakan Trump yang konsisten menggunakan kuasa veto terhadap resolusi PBB bagi menghentikan kekejaman Israel, serta langkah kontroversinya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
“Kita mesti membantah keras sebarang usaha memuliakan penjenayah perang ini di bumi Malaysia! Ingatlah, kehadirannya bukan simbol diplomasi tetapi luka kepada umat Islam seluruh dunia,” ujarnya lagi.
Muhammad Hanif menegaskan kunjungan Trump itu bukanlah suatu tanda keamanan, sebaliknya merupakan satu penghinaan terhadap pengorbanan rakyat Palestin.
Beliau berharap suara bantahan rakyat Malaysia akan menyampaikan mesej yang jelas kepada pemimpin AS itu.
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum