PMX Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Kemuncak BRICS Ke-18 di New Delhi. Foto kredit: PMO
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa BRICS mengambil tindakan konkrit terhadap amalan perdagangan global tidak adil bagi memastikan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negara membangun terus dilindungi.
Beliau berkata, kerjasama dalam BRICS perlu diterjemahkan kepada langkah lebih praktikal, termasuk memperluas akses teknologi, pembiayaan serta kepakaran antara negara anggota dan rakan kongsi.
“ Kita perlu bertindak bersama menerusi langkah konkrit menghapuskan amalan perdagangan tidak adil.
“Kita juga perlu berkongsi kepakaran dan meluaskan kerjasama teknikal, termasuk latihan dalam bidang baharu seperti semikonduktor dan AI,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak BRICS Ke-18 di New Delhi.
Menurut Anwar, BRICS mempunyai kelebihan ekonomi besar melalui gabungan pasaran anggotanya yang luas, sekali gus memberi ruang kepada negara membangun mempelbagaikan hubungan perdagangan.
Katanya, kepelbagaian itu penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tradisional Barat, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada negara seperti Malaysia.
Anwar turut menegaskan keperluan pembiayaan pembangunan yang mampan supaya negara membangun tidak terpaksa berdepan dilema antara membayar hutang dan memenuhi keperluan asas rakyat.
Beliau berkata modal komersial boleh memainkan peranan penting sekiranya ditawarkan menerusi terma yang kukuh dan mampan, termasuk melalui Bank Pembangunan Baharu, mekanisme penyelesaian mata wang tempatan dan pasaran modal Islam.
Dalam masa sama, Anwar menyeru BRICS mengambil kira perbezaan keadaan ekonomi setiap negara dalam melaksanakan agenda peralihan hijau.
Beliau berkata setiap negara perlu diberi ruang menentukan pendekatan masing-masing berdasarkan tahap pembangunan dan kemampuan semasa.
Anwar turut mengaitkan kestabilan ekonomi dengan keadaan geopolitik dunia, terutama konflik yang berlaku di Asia Barat.
Menurutnya, peperangan bukan sahaja memberi kesan kepada negara yang terlibat secara langsung, malah turut menjejaskan ekonomi negara lain melalui kenaikan harga tenaga, gangguan laluan perkapalan, inflasi dan ketidaktentuan pasaran.
“Negara yang mempunyai kapasiti terbesar untuk mempengaruhi keadaan memikul tanggungjawab khusus bagi mengelak pertikaian daripada terus berlanjutan,” katanya.
Malaysia kini mengambil bahagian dalam BRICS sebagai negara rakan dan Anwar berkata Malaysia mahu menyumbang kepada blok itu berlandaskan prinsip autonomi strategik, termasuk kebebasan menentukan hala tuju sendiri serta keberanian mempertahankan pilihan tersebut.
BRICS pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan sebelum berkembang dengan kemasukan beberapa negara lain. Gabungan itu kini mewakili hampir separuh penduduk dunia dan sekitar 40 peratus ekonomi global berdasarkan kuasa beli.
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum