Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya melepaskan jawatan sekiranya menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof bagi memastikan disiplin dalam kalangan anggota pentadbiran Persekutuan terus dipelihara.
“Kalau dia pegang jawatan daripada Persekutuan, dia tak boleh serang, menjadikan ini sebagai satu medan politik menyanggah kerana dia kena jaga disiplin.
“Kalau dia pilih untuk buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia. Kita kena jaga supaya jangan langgar kerana kalau ada pelanggaran, saya akan minta mereka undur,” katanya pada sidang media di Ipoh.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan anggota pentadbiran kerajaan masih bebas berkempen dan berbahas mengenai isu berkaitan Negeri Sembilan, selagi tidak menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kita ingatkan calon-calon, terutama yang pegang jawatan menteri, timbalan menteri atau pemegang mana-mana agensi, dia boleh bertarung dalam isu-isu negeri.
“Setakat ini, kita minta mereka kawal supaya hubungan kita di Persekutuan kekal baik, supaya kerja boleh dijalankan. Biarlah kita kawal kalau ada pertarungan di peringkat negeri,” katanya.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan persaingan luar biasa apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), yang menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, bertanding sesama sendiri.
Situasi itu turut menjadi lebih menarik apabila BN menjalin kerjasama pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pertembungan di beberapa kerusi, manakala Bersatu yang masih menjadi komponen PN memilih bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk lapan kawasan yang turut ditandingi PAS dan Parti Wawasan.
Terdahulu, Naib Ketua Pemuda PKR, Taufiq Johari, memaklumkan PH tidak akan menjadikan serangan terhadap parti lawan sebagai strategi utama kempen.
Sebaliknya, gabungan itu akan mengetengahkan rekod pentadbiran Menteri Besar, Aminuddin Harun serta pencapaian kerajaan negeri dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran DUN bagi memberi mandat baharu kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri bagi penggal akan datang.
Persaingan kali ini dijangka menjadi antara tumpuan utama politik negara susulan pertembungan melibatkan parti-parti yang mempunyai kerjasama berbeza di peringkat Persekutuan dan negeri.
PKR tidak perlu bersaing politik identiti
Isu kaum dan agama hanya retorik kempen selepas kehabisan modal: Tze Tzin
22,339 anggota keselamatan mengundi awal esok
PAS salahkan laporan Malaysiakini cetus polemik kenyataan Sanusi
Pelaburan negeri hasil usaha PH sebelum Kerajaan Perpaduan: Aminuddin
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih