Anwar tegas martabatkan bahasa Melayu, perluas penguasaan bahasa asing

July 28, 2026 · Isu semasa

Penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu terus diperkasakan dalam sistem pendidikan negara, namun pada masa sama murid juga wajar diberi peluang menguasai bahasa asing yang mempunyai nilai ekonomi dan kepentingan di peringkat global.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal dengan pendirian menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penyatuan rakyat, sambil mengiktiraf keperluan menguasai bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa asing lain.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada usaha memastikan semua pelajar menguasai bahasa Melayu dengan baik tanpa mengira aliran persekolahan.

“Sejak tiga tahun yang lalu, antara tugas utama saya berikan kepada Menteri Pendidikan ialah memastikan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dikuasai oleh semua anak-anak tanpa kecuali,” katanya ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Beliau menjelaskan usaha itu perlu melibatkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah antarabangsa dan sekolah vernakular.

Anwar turut menolak tanggapan kononnya usaha memperkukuh bahasa Melayu akan menjejaskan penguasaan bahasa lain.

“Bahasa Melayu mesti diperkukuh, tetapi apa salahnya kita beri ruang secukupnya untuk anak-anak menguasai bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab atau bahasa Perancis. Semua itu memberi nilai tambah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata penguasaan bahasa Inggeris juga perlu dipertingkatkan jika Malaysia mahu terus bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kalau Malaysia mahu diangkat martabatnya sebagai negara hebat, penguasaan bahasa Inggeris itu harus ditingkatkan,” katanya.

Menurut Anwar, perubahan landskap ekonomi dunia menjadikan penguasaan bahasa asing semakin penting, terutama bahasa Mandarin yang kini berkembang sebagai bahasa utama dalam aktiviti ekonomi serantau dan antarabangsa.

Katanya, berbeza beberapa dekad lalu apabila bahasa Mandarin sering dikaitkan dengan masyarakat Cina di Malaysia, kini bahasa itu turut menjadi pilihan ramai kerana kepentingannya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal penguasaan bahasa Melayu.

“Yang tidak kita kompromi ialah penguasaan bahasa Melayu mesti kuat dan mantap, bukan sekadar serpihan atau tempelan,” katanya.

Sejak merdeka, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan menjadi bahasa utama dalam pentadbiran, pendidikan serta komunikasi rasmi negara.

Pada masa sama, sistem pendidikan Malaysia turut menyediakan ruang pembelajaran pelbagai bahasa bagi memenuhi keperluan masyarakat majmuk dan tuntutan ekonomi global.

Berita berkaitan
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
8 jam lalu· Isu semasa
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
5 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
6 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
6 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
6 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok