Perdana Menteri, Anwar Ibrahim disambut Presiden Timor-Leste, Dr. José Ramos-Horta.
Lawatan dua hari Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke Timor-Leste digambarkan sebagai bukti nyata persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, menurut Dr. José Ramos-Horta.
Presiden Timor-Leste itu mengimbau sokongan padu Malaysia semasa Timor-Leste berjuang untuk mencapai kemerdekaan, menyatakan hubungan itu kini memasuki fasa baharu yang lebih mantap.
“Lawatan ini memperkukuh lagi ikatan persahabatan yang telah lama terjalin.
“Perbincangan kami amat membina dan memfokuskan pada masa depan, termasuk pelaburan Malaysia yang lebih besar dalam perniagaan tani, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui serta pendidikan untuk belia kami,” jelas Ramos-Horta pada sidang media bersama di Istana Presiden.
Sebagai tanda penghargaan, Ramos-Horta mengumumkan Anwar akan dikurniakan anugerah tertinggi negara itu, ‘Grand Collar of the Order of Timor-Leste’.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap peranan peribadi Anwar dan sokongan berterusan Malaysia, terutamanya dalam menyokong hasrat Timor-Leste menyertai ASEAN.
“Anugerah ini adalah penghormatan terhadap komitmen peribadinya dan sokongan penting Malaysia.
“Timor-Leste dan Malaysia bukan sahaja berjiran tetapi rakan kongsi dalam membina Asia Tenggara yang bersatu dan makmur,” tegasnya.
Sementara itu, Anwar menyifatkan lawatannya itu bersifat peribadi dan rasmi, memandangkan beliau mempunyai hubungan persahabatan yang lama dengan Ramos-Horta.
Anwar juga menekankan kepentingan memperingati sejarah bersama dan sokongan konsisten Malaysia.
“Kemasukan anda (Timor-Leste) ke ASEAN hanya menunggu masa. Malaysia menantikan untuk meraikan keanggotaan Timor-Leste pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober,” ujar Anwar.
Beliau berkata keutamaan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan, serta mengalu-alukan penglibatan syarikat Malaysia seperti Petronas.
Timor-Leste dijangka diterima secara rasmi sebagai anggota ASEAN ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
Tiga maut dilanggar lori imigresen terbabas: Polis tahan dua pemandu
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri