AS, Iran capai kata sepakat tamatkan konflik

June 15, 2026 · Isu semasa

Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan mencapai persetujuan awal untuk menamatkan konflik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu, dengan satu memorandum persefahaman dijadual dimeterai secara rasmi di Switzerland pada Jumaat ini.

Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan perkembangan itu menerusi platform Truth Social miliknya dengan menyatakan bahawa perjanjian bersama Republik Islam Iran telah berjaya diselesaikan.

“Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini selesai,” katanya dalam hantaran yang dibuat pada Ahad waktu tempatan.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang berperanan sebagai pengantara rundingan, mengesahkan kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat.

Menurut beliau, perjanjian berkenaan merangkumi penamatan segera dan berkekalan semua operasi ketenteraan di pelbagai medan konflik, termasuk di Lubnan.

Dalam perkembangan berkaitan, Sekretariat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran memaklumkan peperangan dan operasi ketenteraan di semua barisan hadapan akan dihentikan secara kekal bermula malam Isnin.

Bagaimanapun, Israel yang tidak terlibat secara langsung dalam rundingan tersebut masih belum memberikan reaksi rasmi terhadap pengumuman berkenaan.

Salah satu komponen utama persetujuan itu ialah pembukaan semula Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi kepada perdagangan minyak dan gas dunia.

Trump turut mengumumkan sekatan AS terhadap pelabuhan Iran akan ditamatkan.

“Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!” katanya.

Pengumuman itu memberi kesan segera kepada pasaran global apabila harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) masing-masing merosot lebih empat peratus dalam dagangan awal Isnin.

Pasaran saham Asia pula mencatatkan kenaikan ketara susulan sentimen positif daripada perkembangan tersebut.

Walaupun begitu, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan perjanjian berkenaan tidak memberikan penyelesaian muktamad terhadap program nuklear Iran.

Bekas jurucakap Jabatan Negara AS di bawah pentadbiran Joe Biden, Matthew Miller, berkata Washington membuat beberapa konsesi penting tanpa jaminan jelas mengenai masa depan program nuklear Tehran.

“Kami tidak mempunyai jaminan program nuklear akan ditangani, tetapi Iran menunjukkan kepada dunia bahawa ia mampu menjadikan ekonomi global sebagai tebusan dan memperoleh sesuatu sebagai balasan,” katanya.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, pula memaklumkan rundingan lanjut akan berlangsung sepanjang tempoh gencatan senjata selama 60 hari, termasuk mengenai pelepasan sekatan ekonomi dan isu nuklear.

Konflik antara AS, Israel dan Iran yang bermula pada penghujung Februari lalu telah mengorbankan ribuan nyawa, terutama di Iran dan Lubnan. Ketegangan itu turut menyebabkan gangguan bekalan tenaga dunia selepas Iran menyekat pergerakan kapal di Selat Hormuz.

Berita berkaitan
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
October 28, 2026· Isu semasa
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
October 24, 2026· Isu semasa
KPDN tunggu analisis 27 sampel petrol disyaki bercampur air
October 18, 2026· Isu semasa
Harga RON97, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen seliter mulai esok: Bernama
October 7, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
October 29, 2026 · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
October 29, 2026 · Isu semasa
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
14 jam lalu · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
15 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok