Aziz Bari.
DAP menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Perlembagaan Negeri Johor dan Melaka yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dengan menyifatkan langkah itu boleh menjejaskan amalan demokrasi di negara ini.
ADUN Tebing Tinggi, Aziz Bari, berkata pelantikan wakil rakyat tanpa melalui proses pilihan raya tidak selari dengan prinsip demokrasi kerana ADUN sepatutnya dipilih secara langsung oleh rakyat.
Menurut pakar undang-undang itu, pelaksanaan mekanisme sedemikian dilihat tidak sesuai dalam landskap politik moden.
“Ini sesuatu yang pelik berlaku pada abad ke-21 kerana perkara seperti ini sepatutnya sudah menjadi sebahagian daripada abad ke-20. Ia dilihat seperti pindaan baharu ini cuba melemahkan demokrasi menggunakan kaedah demokratik. Mereka melupakan akar dan semangat demokrasi kita,” katanya dipetik laporan Free Malaysia Today.
Beliau berpandangan sistem pelantikan ADUN tidak seharusnya dijadikan amalan kerana ia boleh menghakis hak rakyat untuk memilih wakil mereka menerusi pilihan raya.
Isu itu timbul susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka yang membolehkan sehingga tujuh ADUN dilantik ke Dewan Undangan Negeri.
Keputusan tersebut mendorong Pakatan Harapan (PH) Melaka menarik diri daripada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) awal minggu ini sebagai tanda bantahan.
Sebelum itu, Dewan Undangan Negeri Johor turut meluluskan pindaan serupa pada bulan lalu, yang menerima bantahan daripada wakil rakyat PH di negeri berkenaan.
Pelantikan ADUN bukanlah perkara baharu di Malaysia. Sebelum ini, Sabah, Terengganu dan Pahang telah mempunyai peruntukan undang-undang yang membolehkan pelantikan wakil rakyat dalam keadaan tertentu.
Bagaimanapun, cadangan memperluaskan mekanisme tersebut ke negeri lain terus mencetuskan perdebatan, khususnya mengenai keseimbangan antara keperluan pentadbiran dan prinsip demokrasi berparlimen yang menekankan pemilihan wakil rakyat melalui mandat pengundi.
Hanya mohon sokongan pengundi awal, bukan beri arahan
PMX dedah 50 ekar bandar diisytihar tanah rizab Melayu, nafi abai Bumiputera
PKR tidak perlu bersaing politik identiti
Isu kaum dan agama hanya retorik kempen selepas kehabisan modal: Tze Tzin
22,339 anggota keselamatan mengundi awal esok
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih