Bekas menantu Ismail Sabri Yaakob, Jovian Mandagie sebelum ini disiasat berhubung isu wang RM170 juta yang ditemui pihak SPRM.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan pereka fesyen terkenal yang juga bekas menantu Ismail Sabri, Jovian Mandagie, untuk mengetepikan perintah kebankrapan terhadapnya.
Jovian berdepan tindakan kebankrapan susulan kegagalannya melangsaikan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah kepada Cekap Air Sdn Bhd.
Peguam syarikat itu, Siti Nur Athirazatti Rohizad, berkata mahkamah turut menolak permohonan bagi menggantung perintah kebankrapan tersebut.
“Mahkamah menolak rayuan untuk mengetepikan petisyen pemiutang dan juga permohonan penggantungan perintah kebankrapan dengan kos RM10,000,” katanya selepas prosiding di hadapan Hakim Jamhirah Ali.
Perintah kebankrapan itu dikeluarkan pada 3 Julai tahun lalu oleh Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan pada November 2024.
Tindakan tersebut dibuat susulan kegagalan Jovian mematuhi penghakiman terus yang diberikan mahkamah pada 2 April 2024.
Sebelum itu, pada Mei 2023, Cekap Air memfailkan saman terhadap Jovian, mendakwa beliau gagal membayar semula pinjaman RM5 juta yang diberikan atas dasar persahabatan.
Wang tersebut dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakilinya pada Februari 2022 dan dikatakan perlu dilunaskan dalam tempoh 12 bulan.
Pada April 2024, mahkamah membenarkan permohonan penghakiman terus oleh pihak plaintif, sekali gus mengarahkan Jovian membayar jumlah tertunggak sebanyak RM5,284,340.66 termasuk faedah.
Penghakiman terus bermaksud keputusan dibuat berdasarkan hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh atau pemanggilan saksi.
Dalam petisyen kebankrapan, syarikat itu mendakwa pinjaman diberikan secara lisan dan kasual kerana kedua-dua pihak saling mengenali, selain yakin terhadap kedudukan kewangan Jovian yang memiliki beberapa perniagaan lain.
Namun, menurut plaintif, defendan gagal memulangkan wang berkenaan sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat.
Jovian sebelum ini memfailkan pernyataan pembelaan pada Jun 2023 dan dengan keputusan terbaharu ini, status kebankrapannya kekal berkuat kuasa.
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi