Kes mahkamah.
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan kerajaan Malaysia bersama penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) hanya perlu membayar pampasan berjumlah RM1.4 juta kepada keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu, jauh lebih rendah berbanding RM5 juta yang diperintahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, selepas membenarkan sebahagian rayuan keempat-empat pihak terbabit.
Mahkamah turut mengetepikan sebahagian dapatan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memerintahkan bayaran ganti rugi lebih tinggi.
Hakim Mahkamah Rayuan, K. Muniandy ketika membaca penghakiman berkata, Mahkamah Tinggi telah “tersilap dari segi undang-undang” apabila memberikan ganti rugi berjumlah RM5 juta.
Menurutnya, jumlah tersebut tidak selari dengan prinsip penilaian ganti rugi dalam kes sivil melibatkan kematian.
Kes saman ini difailkan pada 4 Jun 2007 oleh keluarga Altantuya, iaitu bapanya Dr Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelakinya.
Mereka mendakwa kematian Altantuya pada 2006 menyebabkan trauma mental dan psikologi yang serius, sekali gus menuntut pampasan dan ganti rugi teladan.
Bagaimanapun, seorang daripada anak mendiang, Altanshagai Munkhtulga, dikeluarkan sebagai plaintif selepas meninggal dunia pada 2017.
Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman tersebut dan mengarahkan kerajaan, Abdul Razak Baginda serta dua bekas anggota UTK, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, membayar RM5 juta kepada keluarga mendiang.
Untuk rekod, Altantuya, seorang warga Mongolia yang bekerja sebagai penterjemah dan model sambilan, dikaitkan dengan rundingan pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia daripada syarikat Perancis, DCNS.
Beliau ditemui mati pada Oktober 2006 dan kes itu mencetuskan perhatian antarabangsa kerana melibatkan tokoh politik berprofil tinggi.
Dua anggota UTK berkenaan kemudian didakwa dan disabitkan kesalahan membunuh Altantuya.
Kes ini kekal sebagai antara episod paling kontroversi dalam sejarah kehakiman dan politik negara, yang terus menjadi perhatian awam sehingga hari ini.
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum