Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam berjaya menjimatkan sebanyak RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter sejak ia dilaksanakan pada 15 April lalu.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar berkata, rekod sehingga 25 Mei itu menunjukkan langkah berkenaan membantu kerajaan mengurangkan tekanan kewangan akibat peningkatan kos subsidi bahan api dan krisis bekalan global.
Menurutnya, pelaksanaan BDR bukan sekadar memberi fleksibiliti kepada penjawat awam, tetapi menjadi antara pendekatan segera kerajaan untuk mengawal penggunaan petrol dalam negara.
“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan meluluskan pelaksanaannya bermula 15 April lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness (ERAT) di Putrajaya malam tadi.
Beliau turut memberi jaminan mutu perkhidmatan kepada rakyat tidak akan terjejas walaupun kerajaan sedang berdepan peningkatan beban subsidi.
“Walaupun tekanan subsidi meningkat mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya lagi.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 dalam tempoh 10 hari pertama pelaksanaan BDR melibatkan kira-kira 200,000 penjawat awam.
Langkah itu diperkenalkan ketika kerajaan mencari kaedah mengurangkan perbelanjaan subsidi bahan api yang semakin meningkat susulan ketidaktentuan ekonomi dan pasaran tenaga dunia.
Dalam pada itu, Shamsul Azri mengingatkan semua ketua jabatan supaya memastikan pelaksanaan BDR berjalan lancar tanpa menjejaskan urusan rakyat.
Beliau berkata, setiap ketua jabatan perlu mengamalkan konsep T.E.G.A.S yang membawa maksud tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif dalam mengurus cabaran semasa.
“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyeru penjawat awam supaya menghayati nilai M.A.L.A.Y.S.I.A iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif ketika memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurutnya, layanan kepada orang ramai tidak seharusnya dibezakan berdasarkan pangkat atau kedudukan.
“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau orang kenamaan datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama?” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Ismail Bakar berkata, amanah sebagai ketua jabatan bukan tugas mudah kerana mereka memikul tanggungjawab besar dalam memastikan integriti perkhidmatan awam sentiasa terpelihara.
Katanya, sebarang salah laku yang tidak diambil tindakan boleh menjejaskan imej jabatan serta kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan.
Pelaksanaan pasport baharu ditunda: JIM
Kes suapan konsesi Menara KL ribu dipindah ke Mahkamah Tinggi
Kerajaan teruskan bantuan BUDI Agri-Komoditi: Anwar
Bekalan minyak negara stabil hingga Julai: Akmal Nasrullah
JAWI kekalkan status sesat bagi ajaran Ahmadiah, Qadiani
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi