Bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri ke-8, Marzuki Mohamad (Kiri).
Ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) dikatakan semakin memuncak apabila timbul dakwaan wujud gerakan tersusun dari dalam dan luar parti untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada kepimpinan Bersatu dan PN, yang digelar sebagai pelan “Muhyiddin Exit”.
Dakwaan itu dibangkitkan oleh bekas setiausaha politik kepada Muhyiddin, Marzuki Mohamad, yang mendakwa serangan terhadap bekas perdana menteri itu berlaku secara konsisten, termasuk daripada individu dalam parti sendiri serta rakan komponen PN.
Menurut Marzuki, tindakan mencadangkan perubahan struktur kepimpinan PN seperti penubuhan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif bukan bertujuan memperkukuh gabungan, sebaliknya untuk mengehadkan kuasa Muhyiddin sebagai pengerusi.
“Ramai sedang menunggu untuk bertepuk tangan melihat projek ‘Muhyiddin Exit’ berjaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendakwa, bagi PAS, masalah PN akan dianggap selesai sekiranya Muhyiddin berundur, sekali gus membuka laluan kepada pemimpin parti itu untuk menerajui gabungan berkenaan.
“Tidak perlu pinda perlembagaan PN. Bila Muhyiddin berundur, semua cadangan ini jadi tidak relevan,” katanya.
Episod etegangan dalam PN semakin jelas kebelakangan ini susulan konflik politik di Perlis serta perbezaan pandangan antara parti komponen mengenai hala tuju gabungan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Marzuki turut mengaitkan senario tersebut dengan kemungkinan perubahan kepimpinan Bersatu, yang menurutnya boleh memberi kesan besar kepada landskap politik negara.
Beliau mendakwa, sekiranya Muhyiddin berundur, Bersatu berisiko hilang pengaruh dan akhirnya lenyap daripada persaingan politik arus perdana.
“Kesan akhirnya, Anwar Ibrahim kekal sebagai perdana menteri selepas PRU-16,” katanya sambil menambah beliau sekadar berkongsi pandangan politik, bukan membuat ramalan mutlak.
Mengakhiri kenyataannya, Marzuki secara terbuka menasihati Muhyiddin supaya mempertimbangkan untuk berundur.
“Tiada guna memimpin kelompok yang tidak tahu menilai kepimpinan,” ujarnya.
Kawal mulut timbalan dan ketua pemuda UMNO dulu: DAPSY beritahu Zahid
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
PH mahu menang atas kekuatan sendiri, bukan kelemahan lawan: Fahmi
PRN berasingan bukan faktor kelebihan kepada BN: Khaled
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi