Industri kreatif.
Kerajaan memperuntukkan lebih RM130 juta bagi memperkukuh industri kreatif negara, termasuk sektor perfileman, muzik dan kandungan digital, menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu bertujuan mengangkat imej Malaysia, membuka peluang pekerjaan serta membawa karya tempatan ke pentas antarabangsa.
Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia.
Insentif tambahan turut disediakan bagi karya yang mengetengahkan budaya, identiti dan kenegaraan Malaysia.
“Hal ini termasuk pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia dan insentif tambahan bagi karya yang menampilkan budaya kita dan kenegaraan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi menggalakkan rakyat menikmati karya tempatan, kerajaan turut mengecualikan tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan daripada duti hiburan mulai 2027.
“Kita menyeru supaya kerajaan negeri mengambil langkah serupa bagi menggalakkan pengkarya tempatan,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga akan memperkukuh ekosistem animasi tempatan bagi melahirkan 20 harta intelek baharu serta membantu mengkomersialkan watak ciptaan Malaysia ke pasaran dunia.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperluas potensi industri animasi tempatan, bukan sahaja dalam penghasilan kandungan, malah menerusi peluang perniagaan dalam sektor pelesenan, barangan dagangan dan pengedaran antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai antara asas penting dalam ekosistem digital negara.
Anwar berkata, usaha mengumpulkan data bahasa Melayu digital yang sahih dan beranotasi akan digerakkan dengan kerjasama kementerian, agensi serta institusi pendidikan untuk disumbangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Dalam era kecerdasan buatan (AI), bahasa Melayu mesti segera maju seiring dengan kecanggihan teknologi,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan ekosistem digital yang kukuh penting bagi membolehkan Malaysia membangunkan teknologi AI sendiri berteraskan identiti kebangsaan.
Peruntukan itu mencerminkan usaha kerajaan menghubungkan industri kreatif dengan pembangunan ekonomi digital, selain membuka ruang kepada pengkarya tempatan untuk meningkatkan daya saing dan menembusi pasaran antarabangsa.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum