Belanjawan 2027: MCMC sasar manfaat digital sampai ke luar bandar

15 jam lalu · Isu semasa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memastikan pelaksanaan inisiatif digital menerusi Belanjawan 2027 memberi manfaat nyata kepada rakyat, industri dan negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan itu diyakini mampu mempercepat pembangunan ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara digital yang berdaya saing.

Antara tumpuan utama ialah peruntukan RM5 bilion bagi Jalinan Digital Negara untuk memperluas liputan Internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.

Peruntukan itu turut meliputi peningkatan kesalinghubungan sepanjang 7,000 kilometer (km) jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 km laluan rel di seluruh negara.

“Setiap inisiatif yang diumumkan akan dipastikan dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, industri dan negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam sektor kesihatan pula, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkasakan ekosistem kesihatan digital negara menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan digital sektor kesihatan, termasuk menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik, perkhidmatan telekesihatan serta penggunaan dron untuk penghantaran ubat.

Langkah itu dijangka membantu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu, sebanyak RM142 juta disediakan untuk memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital yang menawarkan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat.

MCMC turut memberi perhatian kepada pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI bagi meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Dalam sektor pendidikan, penyediaan Wi-Fi di semua institusi pendidikan tinggi awam dijangka memperluas akses Internet kepada pelajar, sekali gus menyokong pembelajaran digital dan pembangunan bakat masa hadapan.

Bagi aspek keselamatan, pembangunan Sovereign AI Cloud dan usaha memperkukuh keselamatan siber negara akan memberi tumpuan kepada kedaulatan data, pembangunan AI yang selamat serta daya tahan ekosistem digital.

MCMC turut meneruskan Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara dan mempergiat usaha membanteras penipuan digital.

Menurut suruhanjaya itu, lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan telah disekat sebagai sebahagian daripada usaha melindungi pengguna.

Pelaksanaan inisiatif berkenaan penting bagi memastikan pembangunan digital bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan daya saing ekonomi, malah merapatkan jurang digital serta menyediakan akses teknologi yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.

Berita berkaitan
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
4 jam lalu· Isu semasa
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
5 jam lalu· Isu semasa
MCMC turunkan kandungan hina Agong di Threads
11 jam lalu· Isu semasa
Mahfuz persoal Sanusi: Mana hasil projek mega Kedah?
15 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
8 jam lalu · Isu semasa
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
8 jam lalu · Isu semasa
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
8 jam lalu · Isu semasa
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
10 jam lalu · Isu semasa
Jordan-Malaysia mahu perkukuh kerjasama pertahanan
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok