Penjimatan negara membolehkan hasil dipulangkan kepada rakyat: Anwar

18 jam lalu · Isu semasa

Penjimatan hasil pengurusan kewangan negara kini membolehkan kerajaan meningkatkan bantuan kepada rakyat menerusi Belanjawan MADANI 2027, selepas beberapa tahun memberi tumpuan kepada penyelesaian hutang dan keperluan mendesak negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, usaha membendung ketirisan, mengelakkan pembaziran dan memperkukuh tatakelola menjadi asas kepada keupayaan kerajaan menyalurkan lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau, kerajaan perlu menyusun keutamaan kewangan terlebih dahulu sebelum hasil penjimatan dapat diagihkan semula kepada rakyat.

“Sebab itu orang tanya saya, kenapa tidak boleh buat dua tahun yang lalu? Kita ambil dan kita selesaikan ikut urutan keutamaan iaitu yang disebut *awlawiyah*, yang utama kena betulkan dahulu.

“Wang mesti dijimatkan, jangan boros, jangan hilang, jangan tiris… sekarang dah terkumpul. Jadi daripada terkumpul itu, boleh pulang kepada rakyat, bukan pulang kepada elaun menteri,” katanya dalam wawancara khas Belanjawan MADANI 2027, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sebelum ini perlu memberi perhatian kepada pengurusan hutang serta keperluan asas, termasuk kemudahan sekolah dan perumahan anggota tentera serta polis.

Hasil penjimatan yang dicapai kini memberikan ruang lebih besar kepada kerajaan untuk memperluas bantuan kebajikan, termasuk kepada pekebun getah, pesawah dan murid sekolah.

“Dan sekarang ini, saya katakan, kita ada keupayaan yang lebih sikit. Tapi syarat, jangan izinkan lagi bocor semula,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 semalam, kerajaan mengumumkan peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini.

Semua penerima STR turut layak menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun. Pada masa sama, rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, masing-masing menjelang Aidilfitri dan sempena sambutan 70 tahun kemerdekaan negara.

Kedua-dua inisiatif itu dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima STR dan 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Kerajaan turut meningkatkan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200 bagi setiap murid berbanding RM150 tahun ini, dengan peruntukan RM1 bilion untuk 5.3 juta murid.

Selain itu, bantuan khas sekali bayar RM1,000 akan disalurkan kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah susulan hasil penjualan nombor pendaftaran khas H. Bantuan itu dijadualkan disalurkan minggu hadapan.

Pendekatan tersebut mencerminkan usaha kerajaan menghubungkan penjimatan perbelanjaan dan peningkatan tatakelola dengan manfaat langsung kepada rakyat, namun Anwar menegaskan disiplin kewangan perlu diteruskan bagi memastikan hasil yang dikumpulkan tidak kembali mengalami ketirisan.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027: RM5 bilion perkukuh internet, RM142 juta untuk NADI
2 jam lalu· Isu semasa
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
18 jam lalu· Politik
Anwar hargai bantuan Mesir permudah salur bantuan Malaysia ke Gaza
21 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan tubuh Tabung Pos RM150 juta, beroperasi awal 2027: Fahmi
21 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
2 jam lalu · Isu semasa
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
2 jam lalu · Isu semasa
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
2 jam lalu · Isu semasa
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
2 jam lalu · Isu semasa
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
2 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok