Rafizi Ramli.
Ketika Parti Bersama Malaysia yang baru berusia kira-kira 40 hari berani mempertaruhkan 15 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Wawasan yang dipimpin Hamzah Zainudin pula terus menjadi pemerhati tanpa meletakkan sebarang calon.
Perbezaan pendekatan itu menjadi perhatian apabila Presiden Parti Bersama, Rafizi Ramli, menyifatkan keputusan membawa parti yang masih terlalu muda ke gelanggang pilihan raya sebagai bukti kesungguhan untuk menguji sokongan rakyat, walaupun ramai menganggap langkah itu terlalu berisiko.
“Kita parti yang baru 40 hari, tetapi berjaya mengemukakan 15 calon dan semuanya diterima untuk bertanding.
“Bagi saya itu satu kelegaan kerana proses pencalonan bukan mudah. Sedikit kesilapan tanda tangan atau pencadang tidak hadir pun boleh menyebabkan calon ditolak,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Trak Kancil di Taman Pelangi malam tadi.
Menurut Rafizi, Bersama sedar mereka tidak mempunyai kelebihan dari segi kewangan, jentera mahupun pengalaman seperti parti-parti lama, namun percaya sesebuah parti baharu perlu membuktikan kemampuannya di hadapan pengundi dan bukannya sekadar membuat kenyataan politik.
“Kita tak boleh bandingkan parti umur 40 hari dengan parti umur 70 tahun. Tetapi kalau dalam 40 hari kita sudah boleh berkempen seperti sebuah parti nasional, bayangkan apa yang boleh kita lakukan jika diberi empat tahun,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi memberi peluang kepada Bersama membuktikan kemampuannya sebagai alternatif baharu dalam landskap politik negara.
“Yang kami minta hanya satu, buka minda dan beri peluang kepada parti baharu ini,” katanya.
Rafizi turut menolak tanggapan orang Melayu hanya mempunyai pilihan antara UMNO atau PAS, sebaliknya menegaskan masih wujud kelompok Melayu progresif yang mahukan pendekatan politik lebih segar dan merentas kaum.
PRN Johor secara tidak langsung menjadi pentas ujian pertama buat Bersama sejak parti itu ditubuhkan selepas Rafizi meninggalkan PKR, sekali gus memperlihatkan kesediaan parti berkenaan mengukur sokongan sebenar di medan pilihan raya.
Sebaliknya, Parti Wawasan yang diterajui Hamzah sehingga kini masih belum mengambil langkah sama apabila tidak bertanding pada PRN Johor, walaupun parti itu sebelum ini disebut-sebut sebagai platform politik baharu selepas perpecahan dalam Bersatu.
Situasi itu menimbulkan perbandingan mengenai pendekatan kedua-dua parti baharu, apabila Bersama memilih untuk menguji kekuatan di hadapan pengundi seawal penubuhannya, manakala Wawasan dilihat masih mengambil pendekatan menunggu sebelum memasuki pertandingan pilihan raya.
PRN Johor yang menyaksikan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan menjadi medan pertama mengukur sejauh mana parti-parti baharu mampu menarik sokongan rakyat, sekali gus menentukan sama ada mereka benar-benar bersedia menjadi alternatif kepada parti-parti sedia ada.
Maszlee uji sendiri jalan Tebrau, akui ‘melambung’ naik Myvi: Bernama
Jangan alih isu, AMK mahu Onn Hafiz jelaskan janji BN dulu yang tertunggak
Selepas ‘ceraikan’ Bersatu, Hadi gesa orang Melayu mengundi pemimpin Islam pula
PRN Johor: Puad dakwa UMNO bergantung dengan kerjasama PAS untuk menang
DAP dakwa wujud kerjasama BN-PN di PRN Johor, undi BN dapat PAS
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar