Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Selepas PAS memutuskan hubungan politik dengan Parti Bersatu, Presidennya Abdul Hadi Awang menggesa orang Melayu supaya bersatu memilih pemimpin Melayu Islam serta pemimpin bukan Islam yang tidak bersikap ekstrem pada pilihan raya.
Menerusi tulisan ‘Minda Presiden PAS’ yang disiarkan hari ini, Abdul Hadi berkata umat Islam wajib menggunakan kuasa mengundi bagi memastikan kepimpinan negara diterajui mereka yang menjadikan agama sebagai asas pentadbiran, di samping menegakkan keadilan kepada seluruh rakyat dalam masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut menggesa pengundi menolak golongan bukan Islam yang disifatkannya sebagai ekstrem dan menentang Islam, selain mendakwa terdapat kelompok Melayu liberal yang tidak mempertahankan agama serta bangsa.
“Perkara ini bukan bermakna bersikap fanatik terhadap agama dan bangsa kerana Islam mewajibkan berlaku adil kepada seluruh manusia serta memimpin masyarakat pelbagai agama dan kaum. Dalam masa sama, penglibatan bukan Islam yang tidak ekstrem adalah dibenarkan,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, sistem demokrasi memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan melalui pilihan raya, justeru umat Islam wajib memilih kepimpinan yang diyakini mampu memelihara agama, bangsa dan negara.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak memandang ringan tanggungjawab mengundi kerana wakil yang dipilih akan menentukan hala tuju pentadbiran negara.
“Menunaikan kewajipan politik Islam berkuasa memerintah hukumnya adalah wajib, kerana kuasa memerintah mentadbir negara adalah salah satu daripada tiga tujuan Allah mencipta manusia iaitu beribadat, berkhilafah (politik) dan beramanah melaksanakan hukum Allah yang Maha Adil,” katanya.
Kenyataan itu hadir selepas PAS membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Parti Bersatu, sekali gus mengakhiri gabungan yang dibentuk menerusi Perikatan Nasional sejak 2020.
Keputusan itu dibuat selepas hubungan kedua-dua parti semakin tegang susulan penubuhan parti baharu, Wawasan, yang dipimpin bekas pemimpin Bersatu, Hamzah Zainuddin.
PAS kemudian memutuskan untuk bergerak secara bersendirian menggunakan lambang bulan pada pilihan raya akan datang, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan kerjasama dengan Parti Bersatu.
Maszlee uji sendiri jalan Tebrau, akui ‘melambung’ naik Myvi: Bernama
Jangan alih isu, AMK mahu Onn Hafiz jelaskan janji BN dulu yang tertunggak
PRN Johor: Puad dakwa UMNO bergantung dengan kerjasama PAS untuk menang
Bersama sahut cabaran PRN Johor, di mana Wawasan bertanding? – Rafizi
DAP dakwa wujud kerjasama BN-PN di PRN Johor, undi BN dapat PAS
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar