Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Kerajaan mempergiat pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan bagi memastikan semua pihak memahami perbuatan buli kini dikategorikan sebagai satu jenayah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu telah dibincangkan secara serius dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada Jumaat lalu.
Fahmi menjelaskan bahawa Perdana Menteri telah menyampaikan pandangan tegas kerajaan yang tidak akan bertoleransi dengan sebarang bentuk buli, terutamanya berikutan kes tragis kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang didakwa menjadi mangsa buli.
“Kerajaan sedang menyelaraskan pelbagai tindakan susulan memandangkan pindaan terhadap Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan telah mula berkuat kuasa sejak Julai lalu.
“Pindaan ini secara jelas mentakrifkan buli sebagai satu jenayah, dan kita ingin memastikan semua kementerian, terutama yang berkaitan dengan institusi pendidikan dan pengurusan asrama, memahami dan melaksanakan peruntukan ini dengan berkesan,” katanyan dipetik laporan media.
Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 dan Dewan Negara pada 16 Disember 2024, diperkenalkan bagi menangani isu buli dengan lebih komprehensif, termasuk buli siber.
Fahmi turut menyatakan bahawa Perdana Menteri telah menegur sikap segelintir pihak dan tokoh yang dianggap tidak beradab dalam menangani isu-isu sensitif.
Beliau memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit oleh pihak berkuasa.
Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut menekankan peranan penting penjawat awam dalam memastikan keamanan, ketenteraman, dan kemajuan negara terus terpelihara.
“Perdana Menteri menyentuh mengenai kemajuan yang dinikmati negara hasil daripada pelaksanaan reformasi, termasuk Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.
“Beliau juga mengalu-alukan maklum balas positif terhadap pengumuman terkini berkenaan kesejahteraan penjawat awam, dan mengisyaratkan pengumuman besar lain yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan semasa pembentangan Belanjawan 2026,” ujar Fahmi.
Dengan pelaksanaan pindaan undang-undang ini, kerajaan berharap dapat membendung budaya buli dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat, terutamanya di institusi pendidikan.
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
Anwar nafi isu tanah Malaysia diserah kepada Indonesia
RUU PSB perlu dibaiki demi hak penduduk, UMNO tak tolak pembangunan: Asyraf
Saluran aduan media kini dibuka, fokus profesional dan telus: Fahmi
X ambil langkah tingkat keselamatan, beri kerjasama baik: Fahmi
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong