Fahmi Fadzil.
Cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor perkhidmatan awam yang sedang diteliti kerajaan tidak akan melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan sekiranya ia dipersetujui untuk dilaksanakan.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua sektor berkenaan dikecualikan kerana berperanan sebagai barisan hadapan yang memerlukan kehadiran fizikal bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Tidak, pada waktu ini ia tidak melibatkan sektor pendidikan dan sektor kesihatan yang bersifat barisan hadapan,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Menurut Fahmi, Kabinet telah menerima laporan awal daripada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, yang disediakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berhubung cadangan pelaksanaan WFH dalam sektor awam.
Beliau berkata laporan tersebut masih memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Perdana menteri telah meminta beberapa perkara disusuli dengan lebih rapi dan dibentangkan untuk dibuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang akan datang selepas Aidilfitri,” katanya.
Tambahnya, kerajaan memberi tumpuan kepada sektor yang tidak kritikal dalam cadangan tersebut.
“Ini yang menjadi keutamaan, semestinya sektor-sektor yang bukan kritikal. Perdana menteri telah meminta Ketua Setiausaha Negara membentangkan cadangan yang lebih lengkap dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan datang,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar Ibrahim meminta Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti secara menyeluruh cadangan pelaksanaan WFH bagi memastikan penyelarasan yang lebih berkesan dalam sektor perkhidmatan awam.
Cadangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kesinambungan operasi pentadbiran negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik, bencana alam dan krisis kesihatan awam.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konsep kerja fleksibel termasuk WFH semakin mendapat perhatian di banyak negara selepas pengalaman pandemik Covid-19 yang memaksa organisasi awam dan swasta menyesuaikan cara bekerja.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam dan Philippines turut memperkenalkan langkah berjaga-jaga termasuk menggalakkan kerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan tenaga, di samping mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid.
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib