Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar.
PAS semakin menimbulkan lebih banyak persoalan apabila beberapa pemimpinnya tampil mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, Abdul Hadi Awang yang menyamakan pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajjal.
Naib Presiden AMANAH, Mahfuz Omar berkata, penjelasan diberikan pemimpin PAS setakat ini masih gagal menjawab persoalan utama, khususnya mengenai bukti dakwaan CSA mensyaratkan sokongan politik daripada wakil rakyat sebagai balasan untuk mendapatkan peruntukan.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Jerlun menyifatkan kenyataan itu sekadar simbolik, manakala Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan istilah Dajjal tidak merujuk kepada individu yang menandatangani perjanjian, sebaliknya pendekatan CSA itu sendiri.
“Apabila ketua melempar batu, anak buah pula sibuk mengutip batu untuk menutup lubang. Apa pun penjelasan yang diberikan, persoalan pokok masih belum terjawab,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mahfuz, PAS sepatutnya mengemukakan bukti sekiranya benar terdapat klausa dalam CSA yang mewajibkan wakil rakyat memberikan sokongan politik sebagai syarat mendapatkan peruntukan untuk kawasan masing-masing.
“Jika benar ada klausa sedemikian, tunjukkan. Jangan melemparkan tuduhan sebesar Dajjal tanpa membuktikan dakwaan yang dibuat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan PAS supaya tidak melupakan sejarah politiknya ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, ketika itu PAS turut berada dalam kerajaan yang melaksanakan persefahaman politik dengan Pakatan Harapan (PH), selain mempunyai wakil dalam Kabinet, manakala Abdul Hadi memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri bertaraf menteri.
Sehubungan itu, Mahfuz mempersoalkan pendirian PAS terhadap kerjasama politik yang dilihat berubah mengikut kedudukan parti berkenaan sama ada berada dalam kerajaan atau menjadi pembangkang.
“Apakah CSA menjadi Dajjal apabila PAS menjadi pembangkang, tetapi menjadi halal apabila PAS berada dalam kerajaan? Apakah hukum politik PAS berubah mengikut kerusi kuasa yang didudukinya?” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kritikan terhadap penggunaan istilah Dajjal dalam perbahasan politik tidak bermaksud mempertikaikan al-Quran, sebaliknya ia berkaitan kesesuaian bahasa yang digunakan dalam mengkritik sesuatu dasar atau pendekatan politik.
Mahfuz berkata, PAS sepatutnya menggunakan hujah dan bukti serta mengemukakan alternatif sekiranya tidak bersetuju dengan CSA, bukannya menjadikan istilah agama sebagai senjata politik.
Beliau turut mengingatkan pemimpin PAS supaya memberi tumpuan kepada isu lebih penting seperti ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan masa depan negara.
“Islam mengajar amanah, keadilan dan hikmah. Bukan mengajar pemimpin menggunakan nama Dajjal untuk menutup kelemahan hujah dan percanggahan pendirian politik sendiri,” katanya.
Isu ini tercetus susulan kenyataan Abdul Hadi yang mengaitkan pendekatan CSA dengan Dajjal, sekali gus mencetuskan perdebatan politik mengenai penggunaan istilah agama dalam mengkritik mekanisme kerjasama antara kerajaan dengan wakil rakyat pembangkang bagi memastikan kelangsungan peruntukan pembangunan kawasan.
PRN Melaka: Azman mahu anak muda Paya Rumput kerja dekat kampung sendiri
Isu MOF-KKDW: Anwar tegaskan perbezaan pandangan bukan tanda perpecahan
CSA bukan Dajal ketika PAS berkuasa, Mahfuz bidas Hadi
Ibu Nizar Najib kritikal, mohon doa orang ramai
PAS dulu terima MoU, sekarang CSA pula dikaitkan dengan Dajal: Kamil
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum