Calon DUN Paya Rumput, Azman Abidin.
Usaha menarik pelaburan bernilai tinggi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan kepada anak muda menjadi antara agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Azman Abidin.
Azman berkata, Paya Rumput mempunyai potensi ekonomi yang besar memandangkan kawasan itu sudah dilengkapi beberapa kawasan perindustrian yang menempatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurutnya, kemasukan pelaburan baharu khususnya dalam sektor bernilai tinggi mampu memperkukuh ekonomi setempat selain membuka lebih banyak pilihan kerjaya kepada penduduk tempatan.
Beliau berkata, peluang pekerjaan yang lebih baik di kawasan sendiri juga dapat mengurangkan penghijrahan anak muda ke luar daerah untuk mencari pekerjaan.
“Anak-anak muda ini kalau ada peluang pekerjaan di sini, mereka takkan pergi berhijrah ke luar. Tetapi kita kena lihat apa yang boleh ditawarkan kepada mereka,” katanya selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Cheng Perdana di Taman Bertam Jaya, malam tadi.
Dalam pada itu, Azman turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kemiskinan dalam kalangan penduduk Paya Rumput, khususnya keluarga yang masih berdepan kesukaran memenuhi keperluan asas walaupun menerima bantuan kerajaan.
Katanya, sepanjang tempoh berkempen sejak 31 Oktober lalu, beliau telah mengunjungi puluhan rumah penduduk dan mendapati masih terdapat keluarga yang tinggal dalam keadaan daif serta memerlukan perhatian.
“Saya nampak golongan miskin, khususnya B40, masih agak kritikal di sini. Memang sebahagian mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Majlis Agama Islam Melaka, tetapi masih tidak mencukupi,” katanya.
Justeru, beliau melihat usaha menarik pelaburan baharu dan memperbanyakkan industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai antara pendekatan jangka panjang untuk membantu keluarga berpendapatan rendah keluar daripada belenggu kemiskinan.
Menurutnya, peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sahaja memberi pendapatan kepada golongan muda, malah membolehkan mereka membantu meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.
Azman yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya berdepan saingan tiga penjuru di Paya Rumput menentang Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November ini. – Bernama
Anwar tegur Hadi jangan permainkan agama, sedia dedah kandungan CSA
CSA jadi Dajal apabila PAS jadi pembangkang? Mahfuz persoal Hadi
Isu MOF-KKDW: Anwar tegaskan perbezaan pandangan bukan tanda perpecahan
Zaliha cabar PAS bahas kandungan CSA, bukan main sentimen agama
CSA bukan Dajal ketika PAS berkuasa, Mahfuz bidas Hadi
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum