Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Pakatan Harapan (PH) Melaka membidas kenyataan Abdul Hadi Awang yang menyamakan pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan “Dajal”, sambil menggesa PAS menghentikan politik melabel yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, sesuatu perjanjian politik perlu dinilai berdasarkan kandungan, hujah dan prinsip yang terkandung di dalamnya, bukannya menggunakan label agama secara melampau.
Menurutnya, hasil negara merupakan hak seluruh rakyat dan kebajikan mereka tidak sepatutnya dijadikan pertaruhan atau disyaratkan dengan sokongan politik.
“Perjanjian politik mesti dinilai melalui kandungan dan hujah, bukannya label agama yang melampau.
“Jika ada fasal CSA yang menafikan prinsip ini, nyatakan fasalnya dan kemukakan bukti. Istilah yang menggerunkan tidak menjadikan sesuatu tuduhan lebih berasas,” katanya dalam kenyataan.
Adly turut mengingatkan PAS supaya mengambil pengajaran daripada Amanat Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong pada 7 April 1981.
Beliau berkata, Jabatan Mufti Negeri Melaka pernah merekodkan perpecahan yang dikaitkan dengan amanat berkenaan, termasuk keretakan hubungan kekeluargaan, pemulauan kenduri dan pertikaian sembelihan.
Malah, fatwa berkaitan amanat itu diwartakan di Melaka pada 25 Julai 2002 dengan ketetapan ia bercanggah dengan ajaran Islam, kepentingan masyarakat serta prinsip dakwah Islamiah.
Penyebaran, pengajaran dan pengamalannya turut dilarang menerusi pewartaan berkenaan.
Selain itu, Melaka turut mewartakan fatwa Larangan Kafir Mengkafir Sesama Umat Islam pada 26 September 2013 bagi membendung amalan saling mengkafirkan dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurut Adly, meskipun penggunaan label “Dajjal” tidak sama dengan menghukum seseorang sebagai kafir, kedua-duanya tetap memerlukan batas dalam perbahasan politik bagi mengelakkan perpecahan dan memelihara persaudaraan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada PAS mahu terus mempertahankan pendekatan politik melabel atau bersedia menyatakan pendirian secara terbuka.
“PH Melaka menolak penggunaan sentimen agama untuk menakutkan rakyat. Persaudaraan sesama Islam, penghormatan sesama manusia serta keadilan kepada semua ialah asas kerukunan Malaysia,” katanya.
Adly berkata, rakyat Melaka wajar menilai PAS berdasarkan kenyataan dan tindakannya, bukannya terpengaruh dengan permainan sentimen agama.
Katanya, politik yang menggunakan label agama secara melampau berisiko memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum dan agama sehingga boleh menyebabkan rakyat bermusuhan sesama jiran serta keluarga.
Beliau mengingatkan pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, terutama apabila ia membabitkan sensitiviti agama dan hubungan masyarakat.
Pemimpin PKR kecam Hadi kaitkan CSA dengan pendekatan Dajal
Isu MOF-KKDW: Anwar tegaskan perbezaan pandangan bukan tanda perpecahan
Zaliha cabar PAS bahas kandungan CSA, bukan main sentimen agama
CSA bukan Dajal ketika PAS berkuasa, Mahfuz bidas Hadi
Ibu Nizar Najib kritikal, mohon doa orang ramai
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum