Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja dan beberapa premis perniagaan kecil di bawah seliaannya bermula 1 April ini hingga 31 Disember 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 penjaja dan peniaga mikro di ibu negara yang berdepan tekanan kos operasi sejak kebelakangan ini.
“Inisiatif ini bertujuan membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi penjaja serta peniaga kecil di bandar,” katanya ketika mengumumkan langkah itu di Pusat Penjaja Permaisuri, Kuala Lumpur.
Menurutnya, pengurangan kadar sewa itu dilaksanakan susulan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada harga minyak dunia serta kos logistik.
Di bawah skim berkenaan, semua penyewa layak menerima potongan 50 peratus, namun kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan.
Ini bermakna walaupun selepas potongan dibuat, jumlah sewaan tidak akan kurang daripada kadar minimum itu.
Sebagai contoh, sewaan asal sebanyak RM160 akan dikurangkan kepada RM80 selepas potongan 50 peratus.
Jika kadar sewaan asal RM80, jumlah selepas potongan secara matematik ialah RM40, namun penyewa tetap dikenakan RM50 kerana tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan.
Bagi premis yang kadar sewanya RM50 dan ke bawah pula, kadar tersebut akan dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.
Hannah turut menjelaskan penyewa yang ingin menikmati insentif itu perlu terlebih dahulu melangsaikan sebarang tunggakan sewa sebelum layak menerima potongan berkenaan.
“Syarat ini penting kerana terdapat ramai pemohon lain yang berminat mendapatkan tapak penjaja dan premis perniagaan milik DBKL,” katanya.
Beliau berkata langkah itu merupakan pendekatan sementara bagi membantu peniaga kecil menghadapi tekanan kos sara hidup, selain mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan dasar yang dilaksanakan memberi kelegaan kepada rakyat.
Menurutnya lagi, DBKL akan terus memantau keadaan ekonomi dan kos sara hidup bagi memastikan kebajikan warga kota terus terpelihara tanpa menjejaskan keupayaan pihak berkuasa tempatan itu menyediakan kemudahan serta perkhidmatan kepada masyarakat.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar