
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menggunakan kesempatan sambutan Deepavali untuk menyemai nilai perpaduan, menyantuni golongan yang memerlukan, dan memperkukuh semangat kekitaan yang menjadi teras kekuatan negara.
Dalam satu hantaran di Facebook sempena Hari Deepavali, Perdana Menteri berkata sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, semangat saling menghormati dan persefahaman antara satu sama lain perlu sentiasa dipupuk dan diperkukuh.
Beliau menyifatkan Deepavali sebagai perayaan yang membawa semangat Pesta Cahaya, yang melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, serta ilmu menundukkan kejahilan.
“Moga perayaan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar, agar darjat serta harakat rakyat terus terangkat menuju Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera,” ujar Anwar.
Anwar turut mengajak rakyat menjadikan perayaan ini sebagai landasan untuk merapatkan hubungan antara komuniti.
Beliau juga mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua penganut Hindu di seluruh negara, moga cahaya kebaikan menyinari kehidupan semua.