Muhammad Kamil Abdul Munim.
Tindakan Malaysia membuka ruang dialog dengan kepimpinan Myanmar tidak boleh ditafsir sebagai pengiktirafan atau sokongan terhadap junta negara itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kritikan terhadap hubungan Malaysia dengan kepimpinan Myanmar wajar didengar, namun perbahasan mengenai isu itu perlu mengambil kira realiti diplomasi dan sejarah hubungan antarabangsa Malaysia.
Beliau berkata, kekejaman terhadap rakyat Myanmar tidak boleh diputihkan, manakala pendirian Malaysia terhadap Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN (5PC) perlu terus dipertahankan.
“Perundingan dan dialog adalah sebahagian daripada kaedah diplomasi. Ia tidak wajar dianggap sebagai isyarat pengiktirafan dan persetujuan. Membuka pintu perbincangan tidak bermakna kita menutup mata terhadap kekejaman,” katanya dalam kenyataan media.
Kenyataan itu sebagai respons terhadap pandangan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang membangkitkan persoalan mengenai risiko legitimasi susulan pendekatan Malaysia terhadap pemimpin junta Myanmar.
Menurut Muhammad Kamil, sejarah diplomasi Malaysia sendiri menunjukkan rundingan dengan pihak yang mempunyai pendirian bertentangan bukan perkara baharu.
Beliau memberi contoh Rundingan Baling pada 1955 apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, duduk semeja dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
“Adakah itu bermakna Tunku mengiktiraf perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya? Tentunya tidak. Tunku berunding kerana sebagai pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau turut merujuk keputusan Tun Abdul Razak mengadakan lawatan ke Beijing pada 1974 dan bertemu Mao Zedong serta Zhou Enlai, sebelum Malaysia membuka hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.
Katanya, Malaysia turut memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai antara kerajaan Filipina dengan MILF serta proses damai di Selatan Thailand.
Dalam isu Myanmar pula, Muhammad Kamil berkata pendekatan Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 tidak terhad kepada pertemuan dengan pemimpin junta, Min Aung Hlaing, malah turut melibatkan wakil National Unity Government (NUG).
“Pendekatannya jelas, iaitu bercakap dengan pihak-pihak berkepentingan untuk mencari jalan keluar kepada krisis,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan istilah “bentang permaidani merah” lebih bersifat politik dan tidak menggambarkan kerumitan diplomasi dalam menangani konflik serantau.
Menurutnya, perkara lebih penting ialah tuntutan yang dibawa Malaysia di meja rundingan, termasuk penghentian keganasan, pelaksanaan 5PC, akses bantuan kemanusiaan dan dialog politik yang inklusif.
“Dalam konteks hubungan dua hala sekarang, kita perlu memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilakukan secara sukarela, bermaruah dan selamat,” katanya.
Muhammad Kamil menegaskan Malaysia boleh mengecam kekejaman di Myanmar pada masa sama berkomunikasi dengan pihak yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya.
“Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” katanya.
Enam negeri dapat RM21.26 bilion untuk belanja pembangunan: Menteri Ekonomi
Anwar kecam dunia gagal bela Palestin
PMX antara pemimpin dunia paling lantang perjuang Palestin: Fahmi
Lelaki Islam, ibu ditahan JAIS berhubung ritual agama lain
Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum