Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2025 diumumkan pada 6.15 peratus, sedikit rendah berbanding 6.30 peratus tahun sebelumnya, susulan pengukuhan ringgit dan prestasi sederhana pasaran saham tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat memberi kesan langsung kepada pulangan pelaburan luar negara yang dinilai dalam mata wang berkenaan.
“Apabila ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pulangan pelaburan luar negara yang dinilai dalam mata wang itu akan diterjemahkan kepada nilai yang lebih rendah dalam ringgit,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan 2025 hari ini.
Sebagai antara dana persaraan terbesar di Malaysia dengan pendedahan pelaburan global yang signifikan, pergerakan kadar pertukaran asing memberi impak material kepada prestasi keseluruhan dana, terutama ketika turun naik mata wang yang ketara.
Selain itu, persekitaran pelaburan global yang tidak menentu akibat dasar perdagangan yang sukar diramal, termasuk ketegangan tarif dan perkembangan geopolitik, turut menekan sentimen pasaran.
Di peringkat domestik, prestasi Bursa Malaysia berkembang lebih sederhana dengan pertumbuhan sekitar 2.3 peratus tahun lalu berbanding lonjakan 12.9 peratus pada 2024.
Situasi itu memberi kesan kepada pulangan pelaburan tempatan memandangkan ekuiti kekal sebagai komponen penting dalam portfolio KWSP.
Walaupun berdepan cabaran, Ahmad Zulqarnain menegaskan pasaran ekuiti yang berdaya tahan terus menjadi pemacu utama pendapatan dana, disokong pulangan stabil instrumen pendapatan tetap dan strategi kepelbagaian aset.
“Portfolio pelaburan yang pelbagai merangkumi kelas aset dan pasaran, dipandu oleh Alokasi Aset Strategik, membolehkan KWSP menghadapi turun naik pasaran yang memuncak pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Washington,” katanya.
Ditubuhkan pada 1951, KWSP berperanan mengurus simpanan persaraan jutaan ahli sektor swasta di negara ini.
Menurut beliau, pencapaian dividen 6.15 peratus dalam suasana mencabar mencerminkan ketahanan strategi pelaburan jangka panjang dana itu.
“Ini mencerminkan pendekatan jangka panjang KWSP dalam memastikan simpanan ahli terus dipelihara dan pada masa sama menjana pulangan yang mampan,” katanya.
Terpedaya peraduan gores dan menang, lelaki rugi RM2,470
Dewan Rakyat lulus peruntukan JPM, tujuh kementerian
Bantuan RM1,000: Lebih 15,000 pemandu teksi, kereta sewa layak terima
MA63: Kerajaan setuju serah kuasa pengurusan buangan kepada Sarawak
Bekas jurufoto Utusan berdepan masalah kesihatan terima bantuan Tabung Kasih Hawana
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum