Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh pada suku kedua 2026 belum memberi alasan automatik kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata keputusan dasar monetari akan terus bergantung kepada penilaian menyeluruh terhadap perkembangan ekonomi dan prospek inflasi.
Katanya, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan menilai sama ada perkembangan terbaharu mengubah penilaian bank pusat terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Apa yang ingin kita pastikan ialah sama ada perkembangan ini selaras dengan prospek pertumbuhan dan inflasi,” katanya pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua 2026 di Sasana Kijang hari ini.
Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi 6.0 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama dan lebih tinggi daripada jangkaan awal.
Prestasi itu menunjukkan ekonomi negara terus berkembang kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos tertentu.
Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata pertumbuhan ekonomi tidak boleh dilihat secara berasingan dalam menentukan hala tuju dasar monetari.
Sebaliknya, BNM turut mengambil kira perkembangan inflasi, harga tenaga dan risiko luaran yang boleh memberi kesan kepada kestabilan harga.
“BNM akan terus memantau perkembangan yang boleh mempengaruhi prospek inflasi, termasuk sama ada kenaikan harga menjadi lebih berterusan dan meluas.
“Kita berpegang kepada kestabilan harga dan melihat kepada semua faktor ini,” katanya.
Beliau berkata prestasi pertumbuhan yang kukuh pada suku kedua akan menjadi sebahagian daripada penilaian BNM terhadap prospek ekonomi negara, namun enggan memberi petunjuk sama ada OPR akan dinaikkan atau dikekalkan.
Menurutnya, bank pusat akan terus meneliti data ekonomi serta perkembangan pasaran dalam beberapa minggu akan datang sebelum membuat penilaian seterusnya.
Isu hala tuju OPR kembali menjadi perhatian selepas ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan, dengan pasaran turut menilai kemungkinan tekanan inflasi meningkat susulan harga tenaga yang tinggi dan perkembangan geopolitik di Asia Barat.
Namun, BNM menegaskan kestabilan harga kekal menjadi objektif utama dasar monetari.
Siasatan KWAP dalam eFishery hampir selesai
BUDI95: AMK cadang had subsidi dinaikkan semula kepada 300 liter
Kes dadah Jakarta: Bukit Aman diberi akses siasat juruterbang Malaysia
RCI Tabung Haji: Tujuh ditahan, 115 saksi dipanggil dalam siasatan SPRM
Ribut petir, hujan lebat diramal di lima negeri hari ini
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan